Pixajoy

Thursday, January 31, 2013

Beli Barang Baby Part 2



Lepas beli barang baby Part 1, yang ni belian online pulak. Wash cloth dan cd je pun. Dah tak banyak dah barang keperluan baby ibu perlu beli. Cuma nak topup je benda yang dah ada. Yang basic almost complete. Semangat dah nak mula ber CD, kena kuat sebab rata-rata ibu moden sekarang malas nak cuci benda alah nie. Perkara yang baik memang susah nak mulakan. Alah bisa tegal biasa!



Baru terima semalam. Lepas ni boleh buat wishlist lagi dekat Gifts From Heaven. Dapat free baby calender kalau beli above RM 80. Kalau above RM 200 free posting tau.
  

Kembang kempis hidung abang Aiman sibuk nak enterframe gak guna webcam. Dalam gelap pun jadi.hiks..




Bacala Anakku Aiman : Tamat Buku 2




Alhamdulillah Aiman dah tamat Bacalah Anakku Buku 2. Kalau buku 1 ambil masa lebih kurang seminggu, buku dua lebih singkat Aiman habiskan. Betul kata mama Adam, permulaan je agak susah, once Aiman dah dapat, lancar je dia sebut.

Dalam sesi pertama buku 2, aku beberapa kali meninggikan suara juga. Kesian Aiman!haha nasib baik dia dah biasa di didik dengan cara tentera. Pada aku didikan cara tegas diperlukan juga ikut keadaan. Aku terangkan dekat Aiman ibu marah bersebab, Aiman bukan tak tahu tapi dia nak cepat pastu merapu meraban sebut. Ibu takkan marah kalau Aiman tak tahu, boleh tanya janji tengok dan sebut satu-satu dulu, biar lambat asal betul.

Sesi kedua Aiman dah boleh terima teguran dan makin improved. Bila dah lancar Aiman makin seronok, dah tak sabar nak start buku 3. Siap peluk cium ibu dan ucap "terima kasih ibu sebab ajarkan Aiman". Tahniah Aiman Mukhlis. Semoga Aiman terus diterangkan hatinya untuk senang menerima pelajaran.





Wednesday, January 30, 2013

Bubur Labu



Malam tadi aku buat habis seperiuk. Petang ni buat lagi sebab en suami request katanya tak puas makan.hehe..Semua jenis bubur adalah kesukaan en suami. Aiman pun dah pandai makan dah bubur macam ni sekarang. Kata Aiman labu ni rasa dia macam kentang. 

Aku suka bubur pulut hitam. Bubur ni bukanlah peberet aku, tapi bila sesekali pekena nikmat juga.



Mainan Pertama Baby



Pada usia anak dibawah setahun, mainan untuk mereka seharusnya membuatkan baby belajar tentang dunianya melalui pelbagai pengalaman seronok. Warna-warna cerah dan berwarna warni akan menarik perasaan ingin tahu baby. Selain itu, mainan berupa muzik juga bagus untuk merangsang deria. 

Aku dah berkenan nak belikan baby Lamaze Musical Inchworm. Ulat ni takde la mahal around RM 24 hingga RM 29 include posting. Kena pandai cari penjual sebab harga mungkin berbeza walaupun bendanya sama. Kalau ada sale, so far yang paling murah aku pernah jumpa RM 23. Sebab bulan nie dah over budget (beli barang baby dan semalam pau en suami belikan jubah dua pasang.hiks) aku tangguhkan dulu untuk beli mainan. Ada satu lagi teether yang aku berkenan juga. Benda ni pun takde la satu keperluan, even baby dah deliver pun boleh beli.


Selain soft toy yang ada muzik macam ni, ada banyak lagi mainan yang sesuai untuk baby. Antaranya ialah teething ring dan rattle, mainan gantung, activity center macam gym dan palymat, mainan blok dan soft book. Belilah ikut kemampuan masing-masing. Yang penting kena bijak memilih.

Selamat bermain bersama si kecil korang. Ini semua poyo!haha..



Monday, January 28, 2013

Cloth Diapers



Salam Bahagia,

Bila dah lama tak beranak ni rasa macam semuanya kena mulakan dari zero. Nak pegang baby nanti pun mesti kekok rasanya. Mujur semua maklumat dihujung jari. Kadang-kadang sampai naik tintong asyik mempatungkan jasad depan skrin. Bila shutdown je, rasa letih gila macam buat kerja mencangkul. 



Masa zaman Aiman dulu takde lagi kot Cloth Diapers ni semua. Pakai lampin pakai buang je sampai besar. Entah bila fenomena CD merebak ke Malaysia. Lampin sekarang dah mengalami inovasi. CD ada banyak pattern, macam-macam warna, moden, bergaya dan selesa. Yang paling penting pengunaan CD menjimatkan, mesra alam, selamat dan sihat.

Dari mula pregnant, aku dah khatam semua pasal penjagaan CD. Tinggal nak praktikkan je nanti. After delivery aku akan guna drypers dulu. Aku mungkin akan mula pakaikan baby CD lepas habis pantang. Bukan apa, masa dalam pantang nanti susah sikit aku nak lasak-lasak main dengan air untuk basuh CD. 

Aku dah beli 4 CD dari Gifts From Heaven buat permulaan. Nanti akan beli lagi secara berperingkat untuk tambah koleksi. Kalau korang tahu mana lagi boleh dapat CD yang murah dan berkualiti sila bagi link. Nanti mak yong nak usha-usha. 





Sunday, January 27, 2013

Bacalah Anakku Aiman : Tamat Buku 1



Alhamdulillah Aiman dah tamatkan buku 1. Pada mulanya dia asyik sebut susah. Aiman dah biasa sebut A tu sebagai a, sekali suruh sebut aa, aku akui dia agak lambat catch up pada mulanya. Cabaran nak mengingat aa ii uu en beh diatasi dengan buat ulangan banyak sesi. Bila dah banyak kali ulang, kalau mengikut turutan, sambil tutup mata pun Aiman boleh sebut huruf vokal tanpa melihat buku. Kemain berlagak dia. Bayangkanlah buku satu je aku ambil masa lebih kurang seminggu. Ulangan dibuat banyak kali sebab aku risau adakah Aiman mengenal atau menghafal.



Bila tengok Aiman dah mula bosan, aku terus proceed ke buku 2. Aiman kata part paling susah dalam buku 1 ialah dia asyik lupa B tu disebut sebagai beh. Buku dua baru je start semalam. Ibu pun tak berapa sempat nak buat dua sesi mengajar dalam satu hari. Biasanya sekali sahaja dalam sehari, kadang-kadang bila balik kampung atau ada hal secara automatik cuti sehari.hiks.. Lagi-lagi bila kerja pagi, petangnya sangat penat, bila malam nak ajar Aiman iqra pula. At least dalam sehari aku cuba untuk konsisten mengajar sekurang-kurangnya sekali sehari. Semoga berterusan, Insyaallah.

Lorat betul si chubby ni nak mainan. Baru tamat buku satu dah mintak senapang. Tahniah Aiman Mukhlis, semoga Aiman diterangkan hatinya untuk senang menerima pelajaran. Ameen..



Saturday, January 26, 2013

Beli Barang Baby Part 1



Semalam petang kami balik Alor Setar. Rancangannya memang nak beli barang baby serba sedikit. Mula-mula kami singgah dekat kedai baby yang baru bukak, apa nama kedai ntah aku pun tak ingat. Dekat situ tak berapa banyak pilihan, jadi aku ajak en suami ke Pasifik. Sampainya dah Asar, beli selipar dekat Bata, makan MCD dah buang banyak masa dah. 

Lepas makan baru kelam kabut beli barang baby. Dalam keadaan nak cepat balik sebab en suami nak tengok bola dekat stadium, aku pakai rembat je mana sempat. Rasa macam tak berapa puas hati sebab membeli dalam keadaan terburu-buru. Takpe la bulan depan boleh hunting lagi. Kalau nak beli semuanya sekaligus parah jugak. Bonus 3 bulan pun tak cukup. Barang sekarang ni semuanya bapak mahal.


Sabun basuh baju, sabun botol, baby wipes dan napkin aku ambik Pureen. Toiletaries semuanya Johnsons Baby. Tuala mandi, kain buaian, sarung tangan kaki baby Fiffy dan baju semua Baby Kiko. Sebab kelam kabut tak perasan dua helai baju sama pattern, sama warna lagi, satu tangan pendek satu lagi singlet. Belasah jer la.hiks.. 


* Lebih senang beli online sebab suami isteri kerja tak menentu. Cuti pulak tak sama. Sibuknya mengalahkan menteri.



Thursday, January 24, 2013

Ragam Aiman dan Baby



Selalunya bila aku berinteraksi dengan baby, Aiman pun akan join sama.


Aiman : Ibu..betul ka baby boleh dengar? Macam mana baby dengar?

Susah jugak nak jawab soalan budak chubby ni..Hanya mampu jawab, "betui la.."

Aiman : Ibu..ibu nganga..

Aku buka mulut dan nganga macam yang diminta, seraya Aiman mendekatkan mulutnya ke mulut aku.

Aiman : Hello baby...hello baby...

Aku gelak ja. Apa Aiman fikir baby mendengar melalui mulut?

muahahaha sambung gelak lagi!



" Deria pendengaran baby mula terbentuk ketika usia kandungan 8 minggu dan strukturnya menjadi lengkap ketika kandungan berusia 24 minggu. Sekitar usia kandungan 25 minggu, baby sudah biasa mendengar suara-suara disekitarnya. Pada waktu ini berkomunikasilah dengan baby. Baby akan merasa tenang dan damai jika mendengar suara lembut dari ibu bapanya "





Banyakkan Berselawat



Sempena Maulidur Rasul mari kita banyakkan berselawat ke atas banginda.




 “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim) 



* Sepatutnya jadikan amalan setiap hari bukan pada satu hari sahaja..:)





Wednesday, January 23, 2013

Tips Menghadapi Ujian BSP



Salam bahagia dan Selamat Menyambut Maulidur Rasul

Esok cuti tiga hari Aiman kata. 

Aku baru balik dari buat BSP, terus pekena burger daging sebijik sebab seksa dah habis.hehe.. Oktober tahun lepas masa minum air gula bacaan dari 4.2 naik sehingga 8.0, makanya aku telah disahkan GDM (ibu hamil yang menghidap kencing manis). So sebulan sekali aku dimestikan buat BSP.

BSP adalah singkatan dari Blood Sugar Profile. Prosesnya menuntut setitis darah dari hujung jari dengan menggunakan glucometer untuk pantau kandungan gula dalam darah. Ia dilakukan 4 kali dalam sehari. Malam sebelum buat BSP, aku kena puasa bermula 10pm. Lepas tu esoknya kena la derma darah pada 8am, 12pm, 5pm dan akhir sekali 10pm. Masa mungkin berlainan bagi klinik lain tapi dimestikan buat sebanyak 4 kali.


Nasib jari dah imun sebab selalu kena cucuk. Sometime bila budak duty yang agak sadis (adik askar katakan) merobek jari, tahan je la pedih. Walaupun terpaksa berulang alik ke RSAT, demi baby ibu relakan.hiks. Bila muhasabah diri apalah sangat dari orang lain yang terpaksa tanggung ujian lebih berat ketika mengandung. Bila kita menilai kesusahan orang lain, kita akan lebih bersyukur. 

Alhamdulillah semuanya semuanya dipermudahkan dan masih under control. Lagipun ini bukan pengalaman pertama, masa pregnantkan Aiman dulu lagi nakal. Bila malam kadang-kadang malas nak pegi RSAT aku siap tulis sendiri berapa bacaan BSP. Mampus kalau misi-misi baca.haha. Now aku tak buat macam tu dah

Aku dah agak expert cara nak kawal bacaan BSP. Yang paling penting minum air kosong banyak-banyak. Makan hanya apabila selepas cucuk, pastu jangan makan dah sampai la cucuk yang seterusnya. Kalau boleh kurangkan makan makanan berat dan jangan makan makanan manis langsungTahan je nafsu makan seketika. Lepas pukul 10, boleh qado makan.kehkeh

Kalau ikutkan aku tak pernah pun buat diet GDM. Aku memang jenis tak suka air manis, nasi pun makan sehari sekali saja. So far aku berfikiran positif dan menikmati saat indah pregnant seadanya. Diri kita sendiri yang mengawal keadaan. Ujian BSP takde la leceh sangat!


Tuesday, January 22, 2013

Bila Waktu Senggang





Sejarah Hidup Nabi Adam hingga Nabi Muhammad. Bercerita secara ringkas tentang kisah nabi-nabi yang terkandung dalam ayat Al-Quran. En suami yang beli. Aku tumpang baca bila ada waktu senggang. 



* Hari ni Mak, abah, adik ipar dan si kecik Afi nak datang rumah. Entah apa nak jamu depa. Makan kat kedai sajalah kot.hiks..





Monday, January 21, 2013

Bacalah Anakku Aiman



Harap maklum entri ini agak panjang. Luahan hati seorang ibu.hehe

Seriously aku mula risau dengan perkembangan pelajaran Aiman. Mac nanti genap umur Aiman 6 tahun. Sepanjang setahun tadika, Aiman masih belum mengenal huruf kesemuanya. Mengeja suku kata sangat lemah. Membaca jauh sekali. Kalau mengenal nombor, tambah tolak tu bolehlah dibanggakan juga.

Aku tahu setiap anak punya kebolehan masing-masing dan perkembangan mereka berbeza walaupun sebaya. Aku tidak mahu membandingkan Aiman dengan kanak-kanak lain yang mana mereka sudah lancar membaca ketika umur 4 atau 5 tahun. Tapi sebagai ibu, semua orang mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Ikut kehendak memang nak hantar Aiman kesekolah terbaik, tapi sejujurnya aku tak mampu dari segi kewangan. Ada sebab juga kenapa aku tak hantar Aiman ke pra.

Aku juga faham kita tidak boleh mengharapkan anak belajar di sekolah semata-mata. Takkan cikgu nak bagi perhatian yang special pulak sebab dekat tadika tu ramai budaknya. Dalam masa 4 jam persekolahan sehari apalah sangat yang mampu cikgu beri. Bukan maksud aku cikgu tak mengajar, tapi masa tu kurang untuk cikgu beri perhatian secara individu. Ditambah pula dengan aktiviti luar seperti menyertai pertandingan tarian, perhatian untuk pelajaran agak kurang.

Aku mengambil pendekatan membuat aktviti pembelajaran dirumah dengan membuat sendiri flash card, memberikan Aiman latihan menulis, mengajar sendiri iqra, ajar solat dan sebagainya. Kadang-kadang usaha aku tidak berterusan. Selain kurang pengetahuan, aku mudah putus asa dan kurang sabar. Masalah utama aku buntu bagaimana cara yang betul untuk mengajar Aiman membaca.  

Aku mula berkenalan dengan Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku awal tahun lepas waktu membaca entri seorang sahabat blog. Waktu tu ada terdetik untuk membelikan satu set untuk Aiman tapi agaknya belum terbuka sepenuhnya pintu hati. Hasrat tersebut sepi sehingga setahun berlalu. Baru-baru ini waktu google tentang cara mengajar anak cepat membaca, aku jumpa banyak link kisah buku Bacalah Anakku.



Buat permulaan, aku nekad beli set Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku dengan harga RM 43.90 termasuk pos di AdikBijak.com. Set ni ada 8 buah buku, sebuah buku panduan mengajar, sekeping dvd, dan satu set flashcard. Masa buku ni sampai Aiman sangat excited, tapi bila aku dah start mengajar dia asyik kata susah dan aiman tak reti. Hilang sabar juga aku pada mulanya. Tapi pada aku nak memulakan sesuatu yang asing bagi Aiman memang agak susah. Aku agak mungkin sebab Aiman dah kenal huruf, jadi dia jadi keliru untuk membunyikan sesuatu huruf.

Setelah banyak kali buat ulangan, Aiman dah menunjukkan improvement. Aku janji akan belikan Aiman apa yang Aiman nak bila dia tamat kesemua 8 buku. Kalau habis buku 1 dan seterusnya, setakat Aiman nak hadiah murah-murah tu boleh je. Malam tadi lepas bedtime story

Aiman : "ibu..betul ke Aiman boleh dapat hadiah mewah bila Aiman dah habis baca semua buku tu?" (hadiah mewah tu,hikhik..)

Ibu : "betul la..Aiman nak apa?"

Aiman : "Aiman nak ipad..."

Hah? Setakat ipad mainan tu Aiman dah ada. Yang betul punya ibu memang tak mampu la nak. Mintak yang murah-murah sikit ye.haha tak menahan dia demand. Kalau mampu pun tak sanggup ibu nak beli benda kehendak macam tu. Nanti Aiman lalai dengan game..

Setakat ni Aiman masih belum menguasai sepenuhnya buku satu. Aku pun tak mahu Aiman pressure, asal dia nak belajar dah besar rahmat pada aku. Aku akan cuba ajar slow-slow sehari sekali atau dua kali selama 10 hingga 15 minit saja. Bila dia dah menguasai buku 4, Insyaallah aku akan belikan set read easy pula. Aku tak mengharapkan sesuatu yang besar dalam masa yang singkat. Target aku semoga Aiman lancar membaca sekurang-kurangnya sebelum dia melangkah ke tahun 1. Ada lebih kurang setahun lagi. 

Walaupun agak terlambat memperkenalkan Aiman dengan buku ni, better late than never kan? Setuju dengan kata lya, permulaan tak penting, yang penting pengakhirannya. Doakan aku diberi kelapangan masa, kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam mendidik Aiman. Also this coming baby, ibu akan mula Bacalah Anakku seawal baby 3 tahun, Insyaallah kalau panjang umur.




Saturday, January 19, 2013

Bedtime Story For Aiman & Baby



Kebiasaannya sebelum tidur, si chubby Aiman akan pilih sebuah buku dan minta aku bacakan. Aku suka belikan Aiman buku yang kisahnya pendek, banyak cerita dalam satu buku sebab Aiman akan demand lebih dari sebuah cerita dalam setiap sesi. Kadang-kadang sampai kering tekak ibu jadi penglipurlara.


Antara koleksi buku cerita Aiman.

Rutin macam ni adalah modal supaya Aiman mudah tidur. Biasanya around 9.00pm Aiman dah selamat belayar. Bila tidur awal, dia memang tak pernah ada masalah untuk bangun ke sekolah esok hari. Aku agak mungkin dengan cara membacakan buku cerita untuk Aiman, penguasaan bahasa percakapan dia macam orang dewasa. Sejak kecik lagi dia sudah petah bercakap menggunakan bahasa buku. Even sampai sekarang aku dan en suami selalu gelak sebab cara Aiman cakap selalunya ikut skema buku teks.

Now Aiman dah ada geng. Bedtime story bukan saja untuk Aiman, tapi untuk baby juga. Sebelum mula aku akan usap perut, beri salam dan bagitau baby ibu nak bacakan buku untuk abang dan baby. Aiman punya sembang dengan baby jangan cakaplah. Siap usap-usap, peluk dan cium-cium perut. Loyar buruk dia pun tak kurang hebatnya. Ini semua creats a bond between ibu, Abang Aiman dan baby. 

Sepanjang sesi bacaan, baby sangat aktif buat renang irama kat dalam. Suka sangat dia bila ibu bacakan buku cerita. Dear baby, ibu, abah dan Abang Aiman dah tak sabar tunggu baby deliver.hehe..


" Bayi dalam kandungan lebih menggemari mendengar suara ibunya membacakan buku cerita berbanding dengan suara wanita lain. Bayi dapat mengingat kembali apa yang didengarnya semasa dalam kandungan dan suka mendengar cerita yang sama berulang kali setelah dilahirkan."

Kajian oleh Dr Anthony DeCasper daripada University of North Carolina.


" Bayi yang telah dirangsang semasa dalam kandungan menunjukkan perkembangan visual(penglihatan), auditori(pendengaran), linguistik(bahasa) dan motor(pergerakan) yang lebih baik serta mempunyai tahap kecerdasan(IQ) yang lebih tinggi. Bayi-bayi ini juga akan tidur dengan lebih baik, lebih peka kepada persekitaran, lebih yakin dan tenang serta mudah disusui."

Kajian Dr Arnold Gisell daripada Yale University semenjak tahun 1940.

 .



Friday, January 18, 2013

Murtabak Daging Homemade


Salam Jumaat,

Sarapan apa pagi ni? Mak buyung tetiba teragak nak makan murtabak homemade, so dengan gigihnya malam tadi menguli tepung. Pagi ini  harum semerbak dapur rumah aku dengan bau inti murtabak. Sejak pregnant, aku menggila cuba banyak resepi baru. Disebabkan tahap kemalasan maksima untuk upload gambar, makanan tu semua telah selamat menjadi najis sebelum sempat buat tayangan di blog.

Hari ni datang rajin. Rasanya dah lama gila tak share resepi di blog. Buat pertama kalinya di tahun baru aku persembahkan Murtabak Daging Homemade. Sesekali makan hasil tangan buatan sendiri sedap tau. Kali ni murtabak dimakan begitu saja sebab aku malas nak buat kuah bawang merah, kuah kari atau dalca. Aiman pada mulanya berlagak sungguh tak nak makan, katanya tak sedap. Bila try sepotong, habis sebijik dikerjakan si chubby. Baru tau ibu dia handal menebar!kahkah gelak jahat.  


Resepi Murtabak Daging

Bahan-bahan Kulit (sebijik macam buat roti canai)

  • 500 gm tepung gandum
  • Air secukupnya (pandai-pandai la agak,mula-mula boh sikit dulu,klu agak-agak keras baru tambah sedikit demi sedikit)
  • 1 biji telur
  • 3 sudu susu pekat manis
  • 1 sudu garam
  • 1 sudu butter/marjerin

Cara-cara

  1. Masukkan semua bahan kecuali tepung kedalam bekas. Kacau hingga sebati.
  2. Masukkan bahan campuran kedalam tepung kemudian uli menjadi doh. 
  3. Rehatkan 10 minit kemudian uli 5 minit lagi. (ulangi step ni sampai tiga kali)
  4. Bentuk bulat-bulat, produce la berapa bijik ikut besar mana korang suka
  5. Perap selama 3 jam atau lebih.
  6. Kalau nak lagi sedap simpan dalam peti ais semalam. Boleh simpan doh selama dua hari. Sebelum simpan, sapu dengan marjerin.

Bahan- bahan Inti
  • 200 gm daging hancur. Aku guna ramlee
  • 2 labu bawang besar dan 3 ulas bawang putih di dadu
  • 2 bijik kentang saiz kecil yang di dadu.
  • 3 sudu rempah kari daging
  • garam, gula dan perasa secukupnya
Cara-cara
  1. Tumis bawang merah dan bawang putih yang didadu dengan sedikit minyak. 
  2. Masukkan daging hancur dan masak hingga agak garing.
  3. Kemudian masukkan kentang yang di dadu, garam, gula dan perasa secukupnya. 
  4. Tuan sedikit air dan masak hingga kentang lembut.
  5. Bila air sudah kering, tutup api dan biar inti sejuk. 

Bahan-bahan murtabak
  • Doh roti canai
  • Inti murtabak
  • 1 labu bawang besar dihiris nipis
  • 5 biji telur
Cara-cara
  1. Pecahkan telur dan kacau kemudian masukkan bawang besar yang dihiris serta inti murtabak kedalam telur.
  2. Ambil doh roti canai yang dah di siap diperap pastu boleh kibar. Masa kibar penyek-penyek dulu doh dan restkan 10 minit. Aku tak ikut pun step ni. Skill menebar pun takde. Aku just tarik2 doh bagi nipis pastu hentam sajalah labu.hiks
  3. Masukkan sedikit inti, lipat kemudian tutup.
  4. Lastly goreng dengan api kecil hingga masak.
  5. Siap untuk di makan panas-panas.




Thursday, January 17, 2013

Posisi Tidur Untuk Wanita Hamil



Baru tadi terbaca dekat Blog Dr Zubaidi

Apabila rahim semakin membesar, ia mengambil ruang abdomen yang akan mengganggu pernafasan, penghadaman, kelancaran membuang air besar serta air kecil dan mungkin memperlahankan peredaran darah. Jadi posisi tidur yang betul adalah perlu untuk wanita hamil macam aku.


Ramai pakar perubatan berpendapat bahawa posisi terbaik untuk ibu hamil tidur ialah posisi mengiring. Tidur mengiring disebelah kanan digalakkan kerana mengikut sunnah. Berbaring mengiring sebelah kanan di awal tidur adalah sunnah, tetapi mengekalkannya tidaklah sunnah. Jadi untuk keselesaan bolehlah mengiring ke sebelah kanan dan kiriDalam banyak kajian menunjukkan risiko untuk bayi mati dalam rahim bagi yang tidur mengiring adalah rendah. 

Tidur mengiring tidak mengganggu peredaran darah, menyebabkan lebih banyak nutrient dan oksigen dihantar pada bayi dalam rahim. Selain dari mengiring, lipatkan peha dan lutut seperti posisi bayi dan letakkan bantal di antara kedua peha. Bagi yang mengalami sakit belakang, bantal boleh diletakkan di bawah perut di sebelah belakang. Bagi mengurangkan rasa loya dan muntah pula, bolehlah meninggikan bahagian dada dengan meletakkan bantal di bahagian dada.

Sudah tentu apabila semakin mendekati kelahiran dan abdomen semakin membesar, sukar untuk ibu hamil tidur meniarap. Sebenarnya tabiat ini harus dihentikan ketika di awal kehamilan lagi. Posisi terlentang akan menyebabkan rahim memberikan tekanan fizikal pada saluran darah besar yang boleh menghalang peredaran darah ke jantung seterusnya mengganggu bekalan oksigen dan nutrient pada bayi. Kesannya boleh menyebabkan kematian bayi dalam rahim. Kedengaran seperti sangat tragis. Naik takut pulak aku sebab kadang-kadang aku tidur telentang. Lepas ni tobat tak buat dah!

Baca juga artikel INI dan INI


* Lebih selesa tidur mengiring sebelah kanan. Orang kata baby boy. Entah! hehe..




Wednesday, January 16, 2013

Nama Yang Tidak Di benarkan Dalam Islam



Tempohari aku pernah share tentang Hak Menamakan Anak Baru Lahir. Masa tengah belek-belek majalah lama terjumpa sesuatu yang agak menarik untuk dikongsi, berkenaan dengan memberikan nama pada anak juga. 


Sebagai ibu bapa kita hendaklah berhati-hati dalam memberikan nama anak agar tidak memasukkan kita ke dalam kemusyrikan terhadap Allah. Kita tidak boleh memberikan nama anak dengan nama-nama Allah seperti Ahad, Ash Shamad, Ar Razak dan lain-lain. Jika ingin menggunakan nama Allah sebagai nama kita, tambahlah kata Abdul (hamba) bukan Muhammad (insan mulia). Jika Qayyum (berkuasa) tambahlah Abdul Qayyum (Hamba Allah yang berkuasa) bukan Muhammad Qayyum (insan yang terpuji yang berkuasa).

Kita juga tidak boleh memberi nama anak dengan nama-nama surah dalam Al- Quran seperti Thaha dan Yasin. Menurut Imam Malik, nama tersebut makruh dipakai untuk nama anak-anak kita.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.


* Adik aku nama Abdul Rasyid dan Abdul Latif..:)



Sumber : S&J Kekeluargaan Pa&Ma Ogos 2007




Comman Sense During Pregnancy



Jadi mek saleha sikit sebab aku malas nak translate. Mesti korang malas baca, takpe..boleh terus komen cuma jangan terlalu nampak kejanggalan.hiks.. 

Bagi yang tengah pregnant dan sewaktu dengannya, banyak info korang boleh dapat dekat Welcome Baby Home. Kalau suka boleh request depa untuk send email kat korang every week. Pregnancy scale, video perkembangan baby, info about parenting, baby recipes semua ada. Sharing is caring!

1. Don't let the number on the scale or number tags on clothing put you in a frenzy because these figures don't define you. Yes!

2. Your panties, like the rest of your wardrobe will need to be, don't fret - upsized. And while you are at it, get cotton ones for air circulation purposes. Ok faham! 

3. Empty your closet of your prepregnancy clothing, clothing that don't fit you right now anyway. That way you save yourself the agony of not being able to fit into your favorite clothes that are just getting tighter by the day. This is one of the kindest thing you can do for yourself. In fact pack up anything that is 'figure-hugging' right away. Keep these clothes boxed and sealed for at least 12 months after having your baby. Sangat perlu! ye ke? mesti stress..hehe

4. Do not focus on weekly or monthly weight gain as they can get quite distracting. Just keep your target weight goal in mind. If it helps, keep away the weighing scale and let your doctor monitor your weight during check-ups. Entah, malas fikir...:)

5. Don't get into the comparison trap, and that too with media personalities. Celebrity moms work out a lot to get back into shape. They hire professional trainers, personal chefs to whip up healthy meals and full time nannies to mind their babies, which inadvertently frees up time to focus on themselves. Ample time not to mention ample resources (which we ordinary folks don't have) makes sense to not compare our lives and bodies to theirs. Tak kuasa nak compare dengan Fasha Sandha!Pastu duta London weight management semua.haha.. 

Final Say... Reflect on what your doctor really means by saying it is best to develop healthy habits before starting a family. Is state of health just about the numbers you see on the weighing scale? Or does it encompass your approach to food, exercise, your emotions, your stress coping mechanism and how much of self-confidence you have. Now is the time to unlearn eating unhealthily, not dieting. Shift the focus to nourishing your body. That will mean eating when you are hungry and stopping when you are full. Also, exercising is good so make it happen. Not only does it build strength but it helps you live longer, makes you feel better about yourself and keeps you fitter and leaner. Ok setuju!






Monday, January 14, 2013

Cara Membuat Air Selusuh



Ok fine, ramai yang tak tahu pun apa itu merasa perut. Bak kata jue&hanie, kalau nak komen jangan terlalu nampak kejanggalannya. Aku yang baca pun tiba-tiba emo. Harap maklum bukan dari entri merasa perut saja, mana-mana entri sekalipun.kehkeh..

Kalau merasa perut tu terlalu unfamiliar bagi korang semua yang hidup di zaman milenium, penggunaan air selusuh ketika menghadap proses kelahiran pasti pernah dengar. Kata orang ada baiknya kalau air selusuh di buat sendiri oleh suami.

Pada zaman dahulu, selusuh digunakan sebagai ikhtiar yang berpandukan Al-Quran dan hadis. Dari segi hukum Islam, selusuh ialah harus. Maknanya tiada salah asalkan tiada bacaan yang bercanggah seperti jampi yang karut marut. Terdapat pelbagai bahan yang boleh digunakan untuk membuat selusuh iaitu air, minyak, kurma atau kismis. 

Jika menggunakan air, sebaik-baiknya gunalah air zam-zam. Selain itu boleh juga digunakan air mineral atau air masak. Minyak yang boleh diguna ialah minyak kelapa muda yang dibuat sendiri, minyak zaitun atau minyak masak biasa. Kismis dan kurma pula pastikan bilangannya ganjil sama ada 7, 3 atau paling kurang 1. 

Para ulama menghasilkan selusuh berpandukan pelbagai ayat Al-quran. Berikut ialah langkah membuat air selusuh.

Cara 1

  1. Al-Fatihah. 
  2. Surah al-Hasyr ayat 21.
  3. Selawat syifa (Ya Allah berikan rahmat ke atas penghulu kami nabi Muhammad S.A.W yang menjadi penawar kepada hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya).
  4. Bacakan doa "Ya Allah dengan hak Maryam dan dengan mereka yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (sebut nama ibu yang hamil berbintikan nama ibunya) sakit bersalin dengan rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rahmat". Kemudian tiup pada air atau minyak, perlu minum 7hari sebelum tarikh jangkaan bersalin.
  5. Sapukan air tau minyak diperut ibu dari atas ke bawah dengan selawat 7 kali.
  6. Minyak selusuh perlu diminum sebnayak satu sudu apabila sakit hendak bersalin.


Cara 2

  1. Beristighfar 3 kali
  2. Menghadiahkan bacaan kepada Nabi Muhammad S.A.W,para sahabt dan para pengikutnya.
  3. AL- Fatihah 1 kali.
  4. Selawat 11 kali.
  5. Alam Nasyrah 7 kali.
  6. Al-Ikhlas 3 kali.
  7. Al-Falaq 3 kali.
  8. An Nas 3 kali.
  9. Al-Fatihah 1 kali. Kemudian doa apa yang dihajati.

Cara 3
  1. Al-Fatihah. Apabila sampai di ayat 5, lintaskan di dalam hati memohon memudahkan bersalin sebanyak 3 kali.
  2. Selawat Syifa 7 kali.
  3. Surah al Hasyr ayat 21, 3 kali.
  4. Surah Al-A'raa ayat 54, 3 kali.
  5. Hembus pada air, minyak atau kurma.

Sumber : Majalah Pa& Ma Mac 2009.





Sunday, January 13, 2013

Merasa Perut Memudahkan Bersalin





Entri pasal pregnancy. Aku dah cuba google tapi tak jumpa satu pun artikel berkaitan. Definasi merasa perut mengikut kefahaman aku adalah mendapatkan perkhidmatan mak bidan untuk membetulkan kedudukan baby sebelum bersalin. Masa pregnantkan Aiman dulu aku pernah buat sekali. Ni pun ikut nasihat MIL. Menantu misali full stop.

Pregnant kali ni MIL dah pesan awal-awal suruh merasa perut. Kalau boleh dua kali, masa kandungan 7 bulan dan 9 bulan sebelum bersalin. Aku dah minta en suami tanyakan kawan-kawan beliau tentang bidan. Bulan depan dah 7 bulan dah boleh pergi merasa. Kata MIL, merasa perut ni kebaikkannya memudahkan kita untuk bersalin. 

Korang pernah ke merasa perut? Kalau ada boleh share pengalaman. Cerita pasal pengalaman sendiri, aku dah ingat-ingat lupa. Benda sudah 6 tahun berlalu. Aiman pun dah membesar bagaikan juara. Yang aku ingat, bidan minta aku sujud, kemudian bontot aku ditolaknya dengan bacaan doa. Guna ayat Quran bukan jampi serapah tau. Percaya atau tidak lepas merasa, badan aku rasa sangat sedap, lebih best dari lepas kena urut. Alhamdulillah juga masa bersalinkan Aiman dulu semuanya dipermudahkan.

Senang atau susah waktu bersalin semuanya ketentuan Allah. Berani kau nak melawan kuasa Allah? Selain doa tak salah kalau kita ikhtiar. 




Saturday, January 12, 2013

Petua Awet Muda



Update laju-laju kejap lagi nak tengok ulangan Maharaja Lawak. Malam tadi keja tak dapat tengok. Nanti aku BW ekk. Lately asyik sibuk menyibukkan diri supaya sibuk. Sekadar perkongsian sebab puan kutu pun bukannya awet muda.hiks..

Contoh awet muda.

Berikut Petua Orang Tuan-tua untuk awet muda dan cantik berseri yang boleh diamalkan :



Pilihan 1:

Hendaklah dilakukan selepas solat Isyak


a. Ambil air segelas
b. Baca al-Fatihah 1 kali
c. Baca Ayatul Qursi 1 kalii
d. Baca Surah Al-Waqiah ayat 35-38 sebanyak 7 kali.

(Tiup dalam air dan minum. Niat dalam hati untuk menjaga kecantikan diri dan untuk kebahagiaan rumahtangga.)



Pilihan 2:

Zikir dibaca untuk anda sentiasa kelihatan berseri, awet muda luaran dan dalaman. Amalkan membaca zikir seperti berikut :

a. Baca ” Ya Badiyah ” 1 kali
b. Baca ” Ya Nur ” 1 kali
c. Baca ” Ya Hadi ” 1 kali
d. Baca ” Ya Allah ” 3 kali 


(Baca zikir dan tiup ke tapak tangan, kemudian sapu ke muka anda. Amalkan setiap hari.)


Pilihan 3:


Amalkan membaca ayat-ayat seperti berikut:

a. Baca ayat ke 35, 36, 37 dan 38 dari surah al-Waqiah selepas solat subuh.
b. Selepas baca, hembuskan pada air dan kemudian minum air tersebut.


Sumber: Ensaiklopedia Petua Melayu Lama







Tuesday, January 08, 2013

Sarung Bantal Baby Hand Made


Salam bahagia

Rasanya almost a week aku tak update. Aku banyak mengumpul maklumat pasal pregnancy, pasal deliver, baby stuff listing, set bersalin dan tak lupa google harga barang keperluan baby. Bukan apa gaji bulan ni rasanya dah boleh mula beli barang baby. Kalau dah compare harga online dengan dekat kedai, dapatlah berjimat serba sedikit. Yes! Azam tahun baru nak kurangkan pembaziran. Tesco pun dah tak nak jejak!hiks..

Dengan penuh semangat juga aku keluarkan semula majalah-majalah lama masa pregnantkan Aiman dulu. Lately aku banyak habiskan masa dengan melakukan aktiviti peberet bertemankan Majalah Pa & Ma. Asal baca je mesti tidur, asal tidur je mesti baca. Semoga adik Aiman akan jadi ulat buku dan kuat tidur juga. Senang ibu bila dalam pantang nanti.haha..

Alhamdulillah walaupun baca sedikit-sedikit, aku dah selesai khatam 30 juzuk Al-Quran. Kata orang sepanjang pregnant, sekurang-kurangnya kena khatam sekali. Lepas ni nak tumpukan pada surah-surah amalan semasa mengandung. Insyaallah semoga di permudahkan semuanya.

Intro membebel tak tentu pasal. Lari tajuk dah ni. Talking about baby stuff, untuk tilam dan bantal, rasanya tak perlu nak beli. Yang Aiman punya dulu complete kekabu dengan 3 biji bantal dan 2 bijik bantal peluk. Save lagi! Cuma sarungnya kena buat baru la untuk cover segala peta yang ada. Aku ingat nak beli kain pastu upah kedai buat.

Niat dihati nak buat sendiri tapi mesin jahit pun takde. Kalau beli mesin semata-mata nak jahit sarung je tak releven pulak. Lepas ni comfirm masuk muzium punya. Semalam petang berbekalkan instruction dalam Pa & Ma, aku testing buat sebijik sarung bantal baby. Ni pun guna kain skirt yang dah tak pakai. Gigih tak gigih aku jahit pakai tangan? Pakai gunting, pembaris dan pensil Aiman je ni.haha.. Tengok la hasilnya!


Gigih juga ambik gambaq pakai webcam.haha

* Tahniah buat Elly, my best friend yang baru deliver baby boy.




Wednesday, January 02, 2013

Aktiviti Baby Dalam Perut



Betapa uniknya ciptaan Allah. Dapat bayangkan betapa comelnya setiap aktiviti baby sewaktu dalam perut. Kalaulah dekat rumah ada alat scan kan best? Hari-hari boleh teropong apa baby buat.hiks..



1. Sekitar usia 3 bulan, bayi mula menelan air ketuban dan mengeluarkannya kembali sebagai air kencing. Ini untuk melatih sistem pencernaan dan perkumuhannya.

2. Bayi boleh menangis sejak di dalam perut lagi. Sekitar usianya 3 bulan, peti suara sudah mula terbentuk dan bayi sudah mula menangis tetapi dalam diam.


 
3. Seawal usia 4 bulan, bayi mula meneroka ruang di sekelilingnya. Dia mula bermain dgn tali pusatnya, menghisap ibu jarinya sendiri, berenang-renang, menendang sekelilingnya dan berpusing-pusing di dalam kantungnya. Tetapi lazimnya ibu yang baru pertama kali hamil tidak akan menyedari pergerakan bayi sehigga usianya 5 bulan.

4. Ketika usianya memasuki 4 bulan, bayi akan mula tersedu untuk melatih sistem pernafasan. Bila bayi tersedu, ibu dapat merasakan getaran halus atau denyut halus di perut.

5. Pada usia 5 bulan, bayi mula memberi reaksi kepada bunyi di luar perut ibunya dan akan menutup telinga dengan tangannya sendiri apabila mendengar bunyi kuat.

6. Sekitar usia 6 bulan, memori bayi mula terbentuk dan bayi dapat mengingati dan mengenali suara ibu bapanya dan mula meneroka anggota tubuh badannya.

7. Seperti kita, bayi di dalam perut juga bermimpi seawal usianya 7 bulan. Aktiviti bermimpi ini akan melatih perkembangan otak bayi.

8. Apabila otaknya sudah terbentuk, bayi akan dapat merasai kesakitan sejak di dalam rahim lagi. Apabila ibu tertekan atau stress, emosinya juga terganggu dan menyekat perkembangan mentalnya.

9. Sebaik sahaja deria rasanya terbentuk, bayi juga dapat merasa makanan yang dimakan oleh ibunya dan boleh mengerutkan dahinya dan memuncungkan mulutnya sebagi reaksi kepada rasa pelik makanan yang dimakan oleh ibu.

10. Sebaik sahaja lahir, pertama kali bayi membuka mata, anak matanya akan membesar untuk menampakkan kecomelannya untuk memikat hati orang di sekeliling terutama ibu bapanya. Sebab itulah bayi nampak comel.



 

 

Tuesday, January 01, 2013

2013 Yang Bakal Merubah Hidup



Salam Tahun Baru,



Lembaran tahun baru yang bakal merubah setiap inci kehidupan kami sekeluarga dengan kehadiran orang baru. Doaku agar dipermudahkan sepanjang mengandung, sepanjang bersalin, sepanjang dalam pantang dan segala urusan sepanjang tahunPintaku juga semoga kehidupan lebih diberkati, di beri kesihatan yang baik, dilimpahkan dengan rezeki serta di beri kebahagiaan berpanjangan. Ameen..

Di kedah hari ini adalah hari pertama persekolahan 2013. Tidak seperti tahun lepas,banyak sungguh drama air mata di tadika. Perasaan kasihan dan kelakar berbagi antara dua melihat ibu bapa menangani anak masing-masing. Kenangan yang cukup manis untuk anak-anak ini kenang bila dewasa nanti. Sungguh aku faham bagaimana perasaan seorang ibu. Anak yang di manja kini sudah besar. Mereka perlu melangkah ke alam yang lebih besar walaupun kurang bersedia.

Alhamdulillah pendaftaran Aiman berjalan lancar. Aiman seperti biasa seorang anak yang baik. Dia sudah biasa dengan sesi persekolahan dan memang tak ada masalah langsung pada hari pertama sekolah. Tahun ini Aiman dah 6 tahun. So kena pulun lebih sikit tak boleh nak main banyak sangat. Tak boleh nak ponteng-ponteng lagi. Aku sebagai ibu pun kena beri lebih perhatian pada pembelajaran Aiman. Semoga diberi kesabaran dan kekuatan yang tinggi dalam mendidik. 

Bercakap pasal orang baru, bila ada baby, seluruh kehidupan akan lebih tertumpu pada baby. Tanggungjawab akan bertambah. Tidur malam pasti terganggu. Pendek kata semuanya akan berubah. Selama ini aku merasakan cukup senang bila Aiman dah besar, pandai berdikari, makan pakai mandi semuanya sendiri. Selepas ini hari-hariku akan jadi lebih kalut. Namun ini semua tiada tolok tandingnya bila diberi peluang untuk merasai keindahan perasaan membesarkan seorang lagi zuriat.  

Semoga aku di beri kuasa hebat untuk menjadi manusia yang lebih hebat dari tahun sebelumnya. 2012 dalam kenangan, Selamat datang 2013...