Lepas Aiman kena campak tempohari, seminggu Aiman tak ke sekolah. Bila dah mula sekolah, tiba-tiba Aiman diserang demam waktu malam selama dua hari berturut-turut. Bila siang aku tengok Aiman aktif dan tak ponteng sekolah. Alhamdulillah malam tadi Aiman dah beransur sembuh. Bagi ibu-ibu yang mempunyai anak-anak yang berusia kurang daripada 7 tahun, jangan ambil ringan apabila anak-anak kita demam! Ini kerana jika mereka terkena sawan, sel-sel otak boleh mengalami kerosakan kekal. Nauzubillah.
Melalui apa yang aku baca, aku nak kongsi langkah-langkah yang sepatutnya kita ambil ketika anak demam. Semoga beroleh manfaat buat kita semua.
1. Kalau boleh, ambil cuti.
Jika kita sendiri yang memantau tahap suhu badan anak-anak sewaktu mereka demam, sudah tentu kita akan lebih teliti berbanding kakitangan taska ataupun pengasuh. Kadang kala mereka terlepas pandang.
2. Periksa samada tubuh anak memerlukan antibiotik.
Biasanya kalau kita bawa anak-anak ke klinik swasta, doktor di klinik tersebut biasanya akan bagi antibiotik. Jangan ambil antiobiotik tersebut sekiranya anak cuma mengalami demam viral, kerana demam viral tidak memerlukan antibiotik. Antibiotik diperlukan untuk demam yang disebabkan oleh bakteria sahaja dan ketika tonsil bengkak. Kalau hanya tekak merah tetapi tonsil tidak bengkak, anak kita sebenarnya tidak memerlukan antibiotik.
Ini pengetahuan yang patut kita tahu supaya kita tidak mudah menerima antibiotik yang selalunya diberi oleh doktor klinik swasta atau sekurang-kurangnya kita punya pengetahuan untuk bertanya doktor berkenaan ini. Jika anak makan antibiotik, sedangkan sebenarnya badannya tidak memerlukan antibiotik tersebut, imuniti badan anak akan jadi lemah. Imuniti badan yang kuat amat diperlukan supaya tidak mudah diserang penyakit di masa akan datang. Ibu bapa mana yang suka kalau anaknya sakit kan.
3. Bezakan antara demam viral dan demam disebabkan oleh bakteria.
Jika demam viral biasanya kanak-kanak tersebut aktif (seperti tidak demam) di siang hari tetapi suhunya panas di malam hari (macam Aiman). Jika demam disebabkan bakteria, kanak-kanak sememangnya tidak aktif dan kelihatan lemah sepanjang hari.
4. Sediakan ubat yang sewajarnya untuk anak.
Selain ubat demam sama ada Syrup Paracetamol atau Syrup Brufen untuk demam, kita juga perlu menyimpan ubat pil yang dimasukkan ke dalam dubur kanak-kanak, Supp Paracetamol (SUPP PCM). Bagi bayi yang berat kurang daripada 12kg, gunalah supp PCM 125mg, jika berat melebihi 12kg, guna supp PCM 250mg.
So far aku memang tak pernah simpan ubat ni dekat rumah. Kita dinasihatkan supaya sentiasa menyimpan bekalan supp PCM di dalam peti walaupun semasa anak tidak demam, kerana jika tiba-tiba anak demam kuat pada waktu malam, kita hanya perlu memasukkan ubat ini dengan kadar yang segera ke dalam dubur. (aku memang tak reti sebab tak pernah buat.hehe) Selepas memasukkan ubat ini biasanya suhu badan akan turun dengan kadar yang cepat berbanding dengan minum Syrup Paracetamol. Jika suhu badan kanak-kanak sangat tinggi, mereka akan terdedah mendapat sawan demam (febrile fits).
5. Selain daripada menyediakan ubat apa lagi yang perlu kita lakukan?
Selain menyediakan ubat, kita juga perlu sentiasa tuam kepala dan ketiak anak pada waktu malam untuk mengawal suhu. Tuam kepala aku selalu buat. Masalahnya waktu kecik dulu je Aiman tak suka, dia siap tarik tuala basah yang aku letak dekat dahi. Alhamdulillah sekrang Aiman dah ikut perintah dan jenis yang tak merengek, cuma aku je tak lena tidur sebab risau.
Jika demam anak berterusan melebihi 3 hari dan keadaannya bertambah teruk seperti muntah, mengadu sakit perut atau susah bernafas segera membawa anak ke jabatan kecemasan untuk rawatan lanjut. Keadaan ini dibimbangi anak mengalami demam denggi.