Pixajoy

Monday, December 31, 2012

Pesta Bilis @ Teluk Batik



Entri terakhir percutian di Lumut. Esok dah masuk tahun baru. Ingatkan tak nak up entry dah. Tiba-tiba datang kerajinan luar biasa untuk menaip. 

Di Lumut kami menginap di rumah SIL, kuarters dalam Pangkalan TLDM Lumut.  Malam selepas balik dari Pangkor aku tengok berita mengatakan ada Pesta Bilis di Teluk Batik. Keesokkan hari selepas Asar abah dan en suami ajak ke Teluk Batik. Ikutkan penat aku memang malas nak ikut. Tapi sebab belum pernah jejakkan kaki kesana walaupun dah banyak kali ke Lumut, aku ikut juga. Pantai di sini airnya tidaklah sehebat Pangkor tetapi sentiasa dikunjungi  manusia terutama pada hari minggu dan Kelepasan Am.

Tak sangka begitu ramai manusia di Pantai walaupun pesta sudah habis waktu kami tiba. Kereta tak usah cakap memang beratus-ratus lemon. Kami hanya mengambil angin sebentar di pantai dan pusing di gerai yang menjual baju dan cenderamata. Sekadar dapat rembat 3 ketul FM kami bertolak balik.

Ternyata kunjungan ke Teluk Batik jadi kalut sebab terperangkap dalam jam. Kalau tahu sesak macam tu taubat kami tak p!





As request aku tempek sekeping gambar terselit ibu Aiman yang sedang membuyung bagaikan juara. Setakat ini aku dah naik sebanyak 12kg. Hebat bukan?haha..


* Hari ni buat BSP asyik ulang beberapa kali sekali cucuk. Entah dimana malangnya sadis sungguh jari comel aku ni jadi mangsa.  



Tragedi Pangkor



Seronok mandi sampai pejam2 mata.hiks

Aiman seorang yang agak penakut. Sejak kecil bila bawak ke taman tema air, mandi laut atau air terjun dia memang tak berapa kamceng dengan air. Kalau tanpa pengawasan, dia tak berani ke tengah. Mula-mula dia akan terjerit-jerit takut. Bila mandi dia akan peluk atau pegang tangan kita.


Entah macam mana Aiman berani ke tengah dan boleh lemas masa dekat Pangkor. Masa tu Aiman mandi dengan Paksu Nizam (suami SIL) sementara semua yang lain masih di darat selepas makan. 

En suami kemudiannya interview Aiman tentang tragedi kejadian.

Mula-mula Aiman nak ikut Paksu, Aiman jalan-jalan tiba-tiba kaki Aiman tak sampai dah kat pasir. Nie abah tengok! (sambil tangan memegang baju). Abah tau tak baju ni kan basah. Bila basah dia  jadi berat, sebab tu la Aiman tenggelam..(dia salahkan baju pulak)

Lain kali abah beli la speck mata dengan benda yang nafas tu baru la Aiman tak tenggelam..

Bila mak tanya kenapa Aiman tak panggil sapa-sapa masa Aiman lemas?

Macam mana Aiman nak panggil Maktok...Aiman ni sudah tenggelam!

Selama beberapa hari masing-masing asyik bercakap pasal tragedi Aiman Lemas di Pangkor

Abah cakap pasal tenggelam, Acu cakap pasal tenggelam,Wan cakap pasal tenggelam, Maktok cakap pasal tenggelam, Paksu cakap pasal tenggelam..Semua orang cakap pasal tenggelam.Pening la kepala Aiman nie!

* Dalam keadaan berhati-hati pun boleh jadi kejadian tak diingini. Mujur Aiman tak apa-apa.




Sunday, December 30, 2012

Jumpa Watak Upin Dan Ipin



Hari ni Alhamdulillah kesihatan aiman sudah ok.

Selepas bercuti selama tiga hari di Lumut, kami terus balik Alor Setar. Masa dekat sana Aiman muntah, diserang sakit perut dan cirit-birit. Keesokkan hari bila balik SP dia nampak sangat ok. Malam sebelum balik Penang aku pergi klinik ambik ubat Aiman sebab sakit perut dia menyerang balik.

Waktu tu jam sudah menunjukkan hampir 12 tengah malam. Dekat SP rasanya satu klinik nie je yang bukak 24 jam. Kami memang dah biasa kesini. Selalu bawak Aiman pergi klinik lepas en suami balik kerja. Kebetulan malam tu server klinik down, jadi pendaftaran semua berlaku secara manual. Bila nama Aiman dipanggil kami masuk bertemu doktor.

Doktor tanya sakit apa Aiman kata tak tahu. Selalunya dalam sakit pun mulut dia memang becok. En suami terangkan gitu gini pasal Aiman sakit perut, muntah dan cirit. Lalu doktor arahkan Aiman baring untuk check perut. 

Tiba-tiba waktu tengah baring, Aiman menutup mulut seperti menahan gelak. 

Abah-abah..macam Jarjit! 



Serius memang lawak. En suami geleng kepala. Dokor tu buat muka selamba. Aku nak gelak tapi tahan je..


* Muka doktor tu saling tak tumpah Jarjit versi dewasa. Cuma doktor tu berserban, jarjit jambul kat depan.



Saturday, December 29, 2012

Berkelah Di Pangkor



Seminggu berlalu masih tak update pasal Pangkor. Aku baru sampai dari Penang. Balik kampung sejak malam Khamis tempohari. Walaupun cerita dah basi, tetap nak abadikan walau sedikit kenangan berkelah dan bermandi manda di Pangkor.

Sabtu, 22 Disember, hari yang cukup memenatkan tapi berbaloi. Bertolak pada waktu pagi dari rumah SIL, parking kereta di kawasan yang disediakan, kemudian menaiki bot dari jeti Lumut. Parking kereta RM 10 sehari, tiket bot pergi balik cuma RM10 seorang. Setibanya disana, kami menggunakan van pelancong dengan kos RM20 untuk ke tempat perkelahan. Pantai Teluk Nipah jadi pilihan kerana panorama yang indah serta pantai yang bersih. 


Port perkelahan 

Dapat je port yang sesuai, kami terus sarapan nasik lemak yang dibeli. Selesai mengalas perut, masing-masing tukar baju kemudian terjun dalam air. Aiman pada mulanya takut-takut, tapi bila dah mesra dengan air, dia makin seronok.

Budak chubby takut air
Abah layan sandwich sardin dulu sementara tunggu ikan bakar masak.

Mak dan Aiman menikmati kacang rebus di pesisiran pantai.

Adik Afi makan roti dengan riang ria
Pantai yang jernih dan bersih sampai nampak anak-anak ikan dalam air.

Suami SIL beria sangat nak bakar ikan di pantai. Abah dan en suami siap bagi cadangan upah orang gorengkan je ikan tu. Tak payah susah2 nak hidupkan api segala. Tapi bila ikan dah siap bakar, licin pulak dikerjakan dua beranak tu. hehe

Tukang bakar ikan berbaju merah. Yang lagi dua tu tukang tengok je!

Makanan berkelah di bawa dari rumah. Menu ringkas nasi putih, ikan bakar, sosej bakar, sambal kicap, sambal belacan dengan ulam cabang tiga, bendi, dan petai. Diserikan lagi dengan sambal tempe + ikan bilis + kacang goreng. Tak sempat snap gambar makanan, ikan masak je terus bedal makan!

Waktu tengah makan, tiba-tiba ada kejadian Aiman hampir lemas. Nanti cerita next entry. Nak rest dulu. 





Wednesday, December 26, 2012

Teropong Jantina Adik Aiman



Cerita Pangkor akan menyusul kemudian. Ada tragedi disebalik kegembiraan.  

Tadi siang buat checkup bulanan. Bulan lepas nurse cuma ukur perut tapi today nurse ada scan baby. Seiring kecanggihan teknologi, niat dihati memang nak buat 4D. Tapi macam takde green signal je dari en suami. MIL pun kata tak payah buat, tak baik. Apakah?hehe..

Tiba-tiba bagai orang menyorok di sorongkan bantal nurse tanya, 

" Dah tahu jantina anak?" 

Aku jawab belum, kemudian menyusul soalan, kenapa? nampak ke? 

Bagus la nurse sekarang ni, dah macam doktor!

Perut aku ditonyoh-tonyoh lagi.

Nurse tadi panggil sorang lagi nurse. 

"Cuba tengok ni! Rasa-rasa?"

Jeng..jeng..jeng..

"Rasa-rasa macam tut"

"Alhamdulillah..." perkataan syukur laju menyusul dari mulutku.

"Belum comfirm lagi tau, rasa-rasanya la. Kalau nak comfirm tunggu doktor scan", kata nurse.

Aku senyum simpul je...

"Kejap nak carik jantung baby". 

Baby asyik tayang punggung pastu tak duduk diam. Comel sangat!

Akhirnya..terlihat jelas di skrin denyutan jantung baby.

 Masa nak balik nurse cakap sekali lagi, "Rasa-rasa macam tut"


* tut tu boy ke girl? RAHSIA LA...keke



Sunday, December 23, 2012

Selamat Hari Lahir Afi



Kelahiran Afi dilihat sempurna seperti bayi lain. Namun beberapa bulan selepas itu doktor mengesahkan Afi sebagai 'istimewa'. Kisah tentang Afi pernah aku kongsikan dalam entri Dugaan Buat AfiAlhamdulillah Afi membesar mengikut perkembangan baby seusianya. Gelagat Afi selalu buat kami tertawa. Wajah Afi selalu kami rindukan. Hari ini kami semua berpeluang menyambut hari lahir Afi bersama-sama. 

Semalam seharian bercanda di Pangkor. Penat masih lagi terasa. Sekarang aku masih di Lumut. Insyaallah esok pagi aku akan bertolak balik ke Alor Setar. Lusanya pulang ke Sungai Petani, Rabu mula bekerja seperti biasa.


Selamat Ulangtahun yang pertama buat Afi. 

* Tak sempat BW lagi. Masih dalam mood holiday, harap maklum.hiks





Monday, December 17, 2012

Percutian Paling Budget



Last minute plan

Percutian merehatkan minda dan melepaskan lelah setelah penat bekerja. Cuti telah approved bermula Jumaat ini sehingga Selasa, Hari Natal. Mula-mula cadangnya nak balik Johor, tapi kerana kesempitan masa, buat percutian budget sajalah. 

Sudah survey harga tempat penginapan disana, tapi abah suggestkan kami balik hari. Lagi pula rumah adik ipar berdekatan situ. Kos hotel percuma, makan tanggung, berak tong. Apa lagi mahumu?hiks..

Sabtu nanti Insyaallah, bertolak seawal pagi dari rumah adik ipar, berkunjung ke beberapa tempat, berkubang di tepian pantai sambil berkelah membawa bekalan dari rumah kemudian pulang petangnya. Inilah percutian yang paling budget!



Pulau yang terkenal sebagai tempat pelancongan ini sekangkang kera saja, tapi istimewanya pemandangan laut yang cukup indah menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara. Boleh teka tak mana tempat aku nak pergi?



Sunday, December 16, 2012

SOS Topup Waktu Kecemasan



Alkisah semalam

Hujan renyai membasahi

Dalam keadaan kelam kabut, alarm kunci kereta buat hal

Diketuk-ketuk masih tak berfungsi

Hati mula panas 

Sudah lewat ke tempat kerja

Tiba-tiba

Cuba mendail si cinta hati

Kedengaran suara kakak operator berlagu

Kredit Tamat Tempoh




Luckily ada SOS Topup

*100#  

Terima Kasih Hotlink!

Terima Kasih Cinta Hati

# I LOVE U!


* Tahu drive je, nak matikan alarm pun tak tau.hiks..





Saturday, December 15, 2012

Parit Buntar Syurga Beli Belah


Salam bahagia,

Hari sabtu apa bikin? Hari ni aku kerja malam, dah siap-siap masak dan dalam proses menyental baju. Sementara washing machine tengah berpusing, update  blog kejap.hiks. Semalam selepas solat jumaat, aku, en suami, Aiman, FIL dan Mil bertolak ke Penang. Tujuan utama nak ziarah paksu (abang aruah mak) yang tengah sakit. Lepas tu hajatnya nak bershopping sikit dekat Parit Buntar (PB).

Sejak aku kecik sampai remaja, PB tempat aku selalu lepak-lepak, selalu jenjalan dan beli barang. Memang banyak kenangan aku dekat sini. PB terletak di utara negeri Perak bersempadan dengan Bandar Bharu, Kedah dan Nibong Tebal, Penang. PB juga terletak berhampiran dengan Bagan SeraiKuala KurauTanjung Piandang dan Bagan Tiang. Kedudukan strategik PB yang bersempadan dengan Kedah dan Penang menjadikan PB sebagai tempat tumpuan untuk membeli belah dan menjamu selera penduduk sekitarnya. Charkoteaw sini memang terbaik! Wajib pekena bila kami balik Nibong Tebal.

PB sekarang membangun dengan pesatnya. Kalau dulu di Pusat bandar cuma ada pasaranya Billion, Minat dan sebijik KFC, sekarang ni macam-macam ada. KFC ada dua bijik, ada Pizza Hut, ada Sate House, ada Old Town White Coffee, dan beberapa lagi restoran yang femes. Pasaraya pun dah ada Econsave. Harga pakaian dan makanan dekat sini memang murah. Tak percaya cer rodger ummihanie. Hubby Ina pun orang sini jugak kan?



Tempat paling heaven untuk kaum hawa shopping adalah Pasar Kemboja. Pasar Kemboja dibuka pada setiap pagi Isnin dan Jumaat. Dekat sini ada jual pelbagai jenis tudung, kain ela dan telekung dengan harga jauh lebih rendah dari harga pasaran. Macam tudung memang banyak pilihan, harga murah gila-gila sampai rambang mata nak buat pilihan. Lama juga tak kesini sebab selalunya balik kampung tak kena hari.

Semalam masa pergi PB, rupanya dah naik Pusat Pakaian Hari-Hari dua tingkat. Nampak sangat dah lama gila tak pergi PB. Sebelahnya ada kedai jual barangan dapur, barang vantage dan segala macam mak nenek. Sebab kami tak banyak masa untuk shopping, kami cuma melekat beberapa jam dekat situ. Tempat lain tak sempat jengah pun. Hasil rembatan semalam termos, bekas air yang ada paip (yang ni Mil belanja), seluar, skirt, blous, t-shirt, legging dan cardigan. Semuanya untuk ibu mengandung.hehe..Untuk Aiman aku belikan boxer, seluar dan stokin sekolah. En suami cuma beli hadiah kahwin untuk kawan beliau.

Sebelum balik kami ziarah Paksu. Sayu tengok keadaan Paksu. Paksu dah disahkan ada kanser. Tolong doakan yang terbaik buat paksu. Macam biasa lepas melawat Paksu, kami isi perut dulu. Sampai rumah ngam-ngam Maharaja Lawak start. Layan! 



Wednesday, December 12, 2012

Waktu Sesuai Untuk Membeli Barang Keperluan Bayi



Salam bahagia
Entry pasal baby lagi.hiks..
Membeli keperluan bayi yang bakal lahir memang mengujakan. Seriously masa Aiman dulu aku langsung tak merasa semua ni. Waktu sambut kelahiran Aiman dulu kisahnya memang sedikit kelam kabut. Aku dan en suami serahkan tanggungjawab untuk beli semua keperluan baby pada mertua. Even sehelai baju baby pun aku tak pernah shopping sebelum Aiman lahir. Unbeleiveable? Beleive it!haha..
Baby yang dalam tummy sekarang awal-awal lagi aku dah buat listing. Penjimatan yang banyak bakal berlaku sebab aku rasa baju dan barang-barang Aiman masa baby dulu banyak yang boleh renew semula. Baju Aiman masa baby memang aku sayang gila nak bagi pada orang, semuanya masih elok dan ada own sentimental value. Setakat baju untuk pakai dirumah, memang dah lebih dari cukup. Tapi dah namanya orang baru, kena jugak beli baju baru at least 5 pasang. Kalau tamak beli lebih lagi kot.haha

Ok back to the title entry, masing-masing punya pandangan tersendiri mengenai bilakah waktu sesuai untuk membeli barang kelengkapan bayi. Terpulanglah pada kesempatan dan keterujaan masing-masing kan. Sesungguhnya sekarang ni aku masih mampu mengawal nafsu melihat barang baby yang sangat comel-comel di jual online. Sabaq separuh daripada iman.
Pada aku eloklah beli sikit-sikit tapi jangan beli terlalu awal. Masa yang sesuai ialah selepas enam bulan keatas. Sebabnya ada ibu yang deliver seawal tujuh bulan ( kelahiran pramatang). Buat permulaan, jangan beli terlampau banyak. Apalagi anak sulung kerana melalui pengalaman, biasanya keluarga dan rakan-rakan akan memberi hadiah nanti. Ada yang kadang-kadang tak sempat pun nak pakai baby dah besar. 
Beg baby dan ibu untuk ke hospital sepatutnya sudah disediakan seawal 7 bulan (28 minggu) usia kandungan. Paling lewat untuk sediakan adalah tepat 8 bulan (32 minggu). Sediakan awal supaya tak jadi macam aku dulu. Bersalinnya dekat Johor, barang baby semua dekat Alor Setar. Nurse siap tanya baby takde baju baru ke? Dengan confidentnya aku jawab, on da way! 
Nanti dah datang rajin aku listkan barang keperluan ibu dan baby plak ye.


Sunday, December 09, 2012

Inspirasi Tips Baju Ibu Mengandung



Perut sekarang dah makin memboyot. Aku dah start pakai maxi sekali sekala. Seluar semua memang dah tak muat nak pakai. Tapi pergi kerja still boleh pakai baju kurung lagi. Dalam kepala sudah merancang nak beli beberapa helai baju, tapi belum ada masa sesuai nak pergi shopping. Ada jugak aku belek-belek untuk beli online. So far belum jumpa yang menepati citarasa. Ada yang berkenan mahal yang amat, tak praktikal nak beli lagipun aku jenis yang sayang duit. Sebenarnya nak tulis tak mampu.haha..

Tak semestinya bila mengandung kita tak boleh tampil awesome. So kali ni menggatal pulak tangan aku nak bagi inspirasi tips baju walaupun aku ni sebenarnya buta fesyen.haha 

Pakai pakaian sedia ada.

Kita boleh je pakai baju sedia ada asalkan longgar, selesa dan sesuai. Mengandung ni sekejap, jadi tak perlu membazir beli baju banyak-banyak lepas tu simpan muzium. Aku hanya merancang beli beberapa helai baju, selebihnya pakai apa yang ada. Lagipun baju aku banyak jugak yang besar-besar sebab aku pernah kurus dan aku pernah berisi.

Bagi yang pernah hamil, sudah tentu korang punya sekurang-kurangnya dua tiga helai koleksi baju mengandung. Bila aku selongkar gobok, aku jumpa koleksi maxi yang pernah aku pakai masa mengandungkan Aiman dulu. Setelah ditimbang tara, ada lebih kurang 6 helai yang masih elok. Sudah jimat disini kan? Untuk tampil lebih update, aku matchkan maxi dengan cardigan. Penyelesaian untuk maxi yang agak senteng, boleh digayakan dengan pemakaian legging. Nanti kena carik sehelai legging untuk buat koleksi!

Perlu bijak mix n match

Bagi aku sudah cukup kalau aku ada sehelai seluar dan sehelai skirt untuk pakai ketika mengandung. Sebab aku ni jarang berjalan. Selalunya keluar pergi kedai, pergi makan atau pergi kerja je. Aku prefer warna gelap yang sesuai di padankan dengan pelbagai baju. Lepas tu gunakan kepakaran yang ada untuk mix dan mitch. Macam aku cakap tadi, maxi aku yang agak outdated, aku gayakan dengan cardigan supaya tampak lebih fresh. Baju sedia ada yang besar-besar boleh gayakan dengan skirt dan seluar baru.hoho.. 

Bagi yang suka bergaya, boleh beli sleeveless yang labuh dan besar banyak-banyak dan beli cardigan yang murah-murah banyak-banyak jugak. Nanti sleeveless tu boleh dipakai dengan cardigan.

Baju yang praktikal selepas bersalin

Kalau beli baju, aku pastikan baju tersebut boleh dipakai walaupun selepas bersalin nanti. Sekarang ni ada banyak butik online yang menjual baju dan maxi yang sesuai dipakai ketika mengandung dan untuk menyusukan anak. Buatlah pemilihan gaya dan harga mana yang kita mampu.

Macam aku, aku merancang beli dua helai jubah. Tu pun kena tunggu balik kampung dulu sebab kat pasar kemboja jubah semua murah-murah. Jubah ni sudah tentu aku boleh pakai semula walaupun selepas bersalin nanti. Lagi praktikal kalau seluar dan skirt yang aku beli pun boleh digayakan walaupun ketika tak mengandung. Pendek kata, pilihlah baju yang tidak terhad boleh dipakai hanya ketika hamil.

Selebriti sebagai inspirasi

Zaman serba canggih sekarang ni, kalau ketandusan idea untuk berfesyen, kita boleh jer google gaya artis dan selebriti sebagai inspirasi untuk bergaya. Dalam majalah pun banyak gambar artis dan fesyen ibu hamil yang boleh kita tiru asalkan berani untuk berfashionista!





Saturday, December 08, 2012

Cadangan Hidangan Jagung Manis



Update lagi walaupun belum habis BW. Actually bukanlah sibuk mana, tapi asal lepas Zohor, wajib ada kuliah taik mata. Jangan marah ekk banyak lagi tak terbalas jejak. Nanti malam Insyaallah aku maratahon.hiks..

Jagung memang menjadi kegemaran kami tiga beranak. Selain sedap, jagung mempunyai mineral dan serat yang tinggikaya dengan antioksidan dan pelbagai khasiat lain. Jagung juga kaya dengan folat sesuai sangatlah bagi ibu mengandung macam aku ni kan.

Setiap kali aku dan Aiman ke pasar malam, jagung manis fresh pasti di beli. Sepinggan jagung RM5 atau RM 6 ada lebih kurang 5,6 batang. Kadangkala bila buat muka comel sikit, pasti abang jagung bagi free sebatang jagung lagi.haha Alkisah semalam en suami bergerak solo ke pasar malam bawak balik dua pinggan jagung. As usual orang lelaki kalau membeli persis nak buat kenduri.



Aku cuma nak kongsi hidangan jagung yang selalu aku buat untuk habiskan stok jagung yang banyak kat rumah ni. Mana tahu korang yang suka makan jagung boleh jadikan inspirasi untuk jamu anak suami kan.

Jagung Campur kelapa

Ini hidangan wajib sebab kegemaran en suami. Even pak mertua aku pun suka jagung manis campur kelapa parut. Nak buatnya tak susah. Rebus jagung hingga masak. Bila dah sejuk, guna pisau untuk kopek isi jagung. Masukkan jagung dalam sebuah mangkuk pastu campur kelapa parut, garam dan gula secukup rasa kemudian gaul rata. Dah boleh ngap!

Cekodok jagung

Jemput-jemput jagung atau lebih mesra dipanggil cekodok memang menjadi kegemaran ramai. Buatnya cukup mudah. Kopek isi jagung pastu masukkan dalam adunan tepung. Kalau nak lebih umphh, boleh tambah hirisan kentang, udang, taugeh, daun sup dan daun bawang. Jagung saja pun dah cukup heaven kalau makan panas-panas cicah sos. Ini ada satu petua bagi korang yang tak tau. Bancuh tepung terlebih dulu pastu simpan dalam peti ais beberapa jam. Time nak goreng baru keluarkan. Aku selalunya kalau nak goreng cekodok untuk breakfast, malamnya aku dah siap bancuh tepung. Tekstur jemput-jemput akan jadi lebih gebu dan sedap.

Jagung Rebus atau Bakar

Rebus atau bakar jagung pun sodap! Jagung rebus kira kegemaran aku. Nak rebus dan bakar pun takkan aku nak ajar macam mana. Sendiri mau ingatlah! Untuk tambah perasa boleh jer sapu butter dan siram dengan black/white peppers.


Ala Sweet Corn Cup

Kadang-kadang aku buat jugak tapi sangat jarang sebab hasilnya tak cukup sedap macam beli dekat kedai satu cawan RM 2.50 tu. Aku selalunya akan rebus jagung (malas nak stim), kopek isi pastu letak sedikit butter, susu pekat manis dan sedikit garam. Kalau malas lagi guna je jagung frozen yang siap kopek, tapi kualiti rasa dan khasiat kurang la nak dibandingan dengan jagung fresh.


Bubur jagung

En suami memang peminat bubur. Bagi je bubur apa pasti licin seperiuk beliau hadap. Bubur jagung simple selalunya aku cuma letak jagung dan apa kenama benda yang bulat-bulat macam mata ikan tu lupa plak aku. Bubur jagung antara menu wajib aku buat untuk menambat selera cinta hati. Sekian



Tanda - Tanda Bersalin



Lambat lagi nak bersalin, tapi sekarang masa yang sesuai untuk penuhkan dada dengan ilmu. Lain orang lain pengalaman bersalinnya. Melalui apa yang aku baca, hanya terdapat tiga tanda bersalin. Tanda tersebut ialah :

Show

Ini merupakan tanda awal bersalin. Kebiasaannya ia berlaku dalam bentuk lendir atau darah. Jika mengalaminya, tidak perlu segera ke hospital. Tanda sebegini biasanya mengambil masa hampir beberapa hari sebelum melalui proses bersalin.

Kontraksi

Ketika kontraksi, perut akan menegang setiap 10 minit. Paling kerap ialah pada kadar 20 saat bagi setiap kontraksi. Bagi kontraksi sebenar, kekerapannya perlu konsisten, kerap dan bertambah kuat dari semasa ke semasa. Apabila melaluinya, segera ke hospital untuk mendapat pemantauan doktor. Jika sebaliknya berlaku, (sebagai contoh kontraksi dialami pada kadar 10 minit, kemudian 45 minit, selanjutnya 5 minit ), hal ini bukanlah kontraksi.

Air ketuban pecah

Air ketuban keluar tanpa mengalami rasa ingin membuang air kecil. Kebiasaannya keadaan ini berlaku apabila ada pancutan air yang keluar dalam jumlah yang banyak. Perlu diperhatikan air yang keluar seharusnya jernih dan tidak berwarna. Jika air berwarna hijau, itu tandanya bayi sudah membuang air besar dalam kandungan. Segera ke hospital jika keadaan ini berlaku kerana bimbang mungkin akan terkena jangkitan kuman.


Walaupun ketiga-tiga tanda ini merupakan petanda awal bersalin, namun ibu perlu segera kehospital jika mengesyaki bayi kurang bergerak. Dalam 12 jam, bayi perlu sekurang-kurangnya 10 kali bergerak. Jika secara tiba-tiba bayi kurang bergerak, segera dapatkan rawatan kerana bimbang bayi lemas dalam kandungan.






Thursday, December 06, 2012

Pengantin Dua Pasang





Selamat pengantin baru buat Nisah & Wan juga Khalis & Wani. Bahagia hendaknya hingga ke syurga.

Nisah dan Khalis ni sebenarnya adik beradik. Keduanya adalah jiran sekampung aku di Nibong Tebal. Nisah dan Khalis aku kenal sejak berhingus lagi. Kakak diaorang sebaya aku dan merupakan sahabat baik, kawan bertekak dan rakan sepermainan di kampung. Ummi dengan ayah diaorang juga adalah tok guru yang mengajar aku mengaji quran sejak kecik.

Tempohari pergi kenduri tak sempat pun nak jumpa pengantin sebab kami kelam kabut balik en suami nak kerja. Selamat melayari bahtera rumahtangga dan semoga dikurniakan zuriat yang soleh solehah. Ameen..


* Eh pic cilok fb aci kan?



Pengalaman Kedua Mengandung


Salam Bahagia,

Lama tak update. Entri ni dah taip lama tapi terperap dalam outbox. Macam-macam perkara jugak berlaku lately. Aku, Aiman dan en suami baru lega demam. Selsema dan batuk masih bersisa. Godek-godek album terjumpa gambar ni. Aiman masa baby, kurus je. Ibu pun muka hingusan ala-ala tak banyak lagi dosa.haha..Bukankah bersalin tu merupakan salah satu proses penghapus dosa juga kan?



Pengalaman Pertama Mengandung cukup indah walaupun tak banyak aku dapat kongsi sebab dah ingat-ingat lupa. Pengalaman kedua ni masih segar bugar dalam ingatan. Entri ini akan jadi sedikit panjang.

Aku mula stop makan ubat perancang bermula Mei 2011 sebaik saja dapat transfer ke Sungai Petani. Memang dah niat nak stop makan ubat kalau dapat pindah. 4 tahun lebih mengamalkan perancangan keluarga satu jangka masa yang agak panjang juga. Bukan tidak teringin menimang baby dalam masa terdekat, tapi atas banyak sebab. 

Serik rasanya melihat Aiman dibesarkan dari satu tangan pengasuh ke pengasuh yang lain. Setiap pengasuh ada ceritanya tersendiri. Banyak kisah yang tak sedap yang korng pasti tak nak dengar. Setiap kali aku perlu berkursus atau tiada pengasuh, Aiman akan berulang alik ke Alor Setar untuk dijaga oleh mak abah. Selatan ke utara buka jarak yang dekat, perlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang.

Pertanyaan bila nak bagi Aiman adik sudah acapkali singgah ditelinga. Yang paling tak boleh lupa seorang doktor pernah bergurau kata rahim aku dah merajuk sebab lama sangat merancang.hikhik.Sejak stop ubat, period aku memang berterabur. Kadang tiga bulan sekali, dua bulan sekali baru datang. Aku tidak terlalu mengharapkan keajaiban yang sangat cepat untuk merasai perasaan hamil sekali lagi. Mendengar cerita ada yang sampai 5 6 tahun baru mengandung semula akibat ambil ubat perancang seakan cerita horror dalam filem pula.hiks

Sebelum tahu pregnant, tekak teringin sangat nak makan jeruk pelam. Kebetulan dapat 3 biji mangga besar-besar dekat pokok sekitar office, aku google cari resepi dan buat. Jeruk ni aku belum makan, aku simpan dalam peti ais dua tiga hari secara kebetulan aku balik kampung. Hati dan perasaan ni dok terbayang je jeruk dalam peti ais, macam mengidam gila-gila nak makan masa dekat kampung. 

En suami lain pulak ceritanya. Setiap kali sebelum pergi kerja mesti beliau singgah kedai untuk beli asam. Kata en suami, beliau jadi macam ketagih makan asam. Hari-hari mesti pekena, kalau tak rasa macam tak boleh buat kerja. Ada kawan yang tegur, entah-entah bini hang mengandung. Tapi sesungguhnya kami tak terfikir langsung ke arah tu.

Bagi yang ikut perkembangan aku, pasti tahu aku gigih turunkan berat badan lepas pindah. Ceritanya ada di SINISelepas raya sesudah menikmati pelbagai juadah tanpa had, aku mula untuk kembali kepangkal jalan. Tapi percubaan untuk diet langsung tak berjaya. Aku selalu rasa menggeletar, macam nak pitam pun ada kalau perut kosong. Setiap kali aku nak pergi jogging, pasti ada saja halangan. Mungkin Allah nak lindungi baby dalam perut ni. Tu pun ada sekali aku terlanjur skipping dekat rumah. Alhamdulillah tak ada benda buruk berlaku. Masa tu memang tak tahu baby dah ada dalam perut ni. 

Period terakhir adalah pada 13.07.2012. Selepas tu aku dah mula rasa puting breast sensitif dan sakit.  Malas nak ambil pusing sangat sebab period aku kan tak tetap. Tanda-tanda lain mula kelihatan bila aku asyik berulang alik ke toilet untuk kencing, badan mula rasa letih, malas dan tak bermaya. Boleh dikatakan setiap petang lepas balik kerja aku mesti lepak tertidur sampaikan tak sedarkan diri. Mujur ada si chubby Aiman yang jagakan ibu. Nak minum air semua Aiman ambilkan.

Alahan seperti rasa mual dan loya memanggil aku untuk pergi beli pregnancy test dekat farmasi. 17.09.2012 awal-awal pagi aku test, ternyata naik dua line yang sangat jelas. Mulanya tak nak kejutkan en suami yang tengah lena tidur, nak tinggalkan nota je beserta pregnancy test dekat meja sebelum pergi kerja. Kononnya nak buat suprised la sangat. Tiba-tiba pulak en suami terjaga. Bila tunjuk terpinga-pinga tak boleh blah muka en suami. haha. Pastu siap tanya "ni apa? mengandung ka nie?"

Melayankan blur en suami, aku ambil plastik pregnancy test tu dan tunjuk instruction macam mana cara nak guna dekat situ. Belek-belek baru en suami faham. "Woo..satgi petang kita p klinik, kita comfirm.." Lepas tu en suami serta merta call abah dan adik beliau bagitau tentang berita gembira ni. Tapi ayat tetap tak boleh blah, " berkemungkinan muni / kak muni mengandung.." still tak percaya lagi tu. 

Petang hari yang sama kami terus pergi klinik nak buat kad merah. Masa sampai tu dah nak dekat pukul 4. Kata nurse buat kad ni ambil masa yang lama. Kalau buat hari ni esoknya kena datang semula buat ujian darah. Aku ambil keputusan untuk datang esok saja. En suami tetap tak puas hati terus ajak aku pergi Klinik Doktor Azhar untuk comfirm. Lepas doktor dah sahkan mengandung baru percaya. Aiman la paling suka sebab dah lama nak timang baby. 

19.09.2012 tarikh buat kad mengandung, masa ni dah 9 minggu 5 hari usia kandungan. Kalau mengandung kali pertama aku hilang selera makan, pening dan sakit-sakit badan, kali ni rasa mual dan loya satu cabaran yang agak besar. Perut sentiasa saja lapar sampai hilang punca tak tahu nak makan apa. Kalau lewat makan mesti rasa loya. Aku yang azalinya suka makan semua jenis sayur jadi tak suka langsung dengan sayur. Nasib baik selera aku bernafsu dengan buah-buahan.

Mengidam dengan orang mengandung memang tak dapat dipisahkan. Selagi tak dapat, selagi tu dok teringat. Siapa yang mengalaminya je tahu camna kan? Pantang nampak dan sebut sesuatu makanan, aku mesti terasa nak makan. Terima kasih en suami sebab dah ditunaikan semua permintaan baby.haha Demand dari baby la sangat!  

Walaupun perasaan malas menguasai untuk masak, tapi bila teringin nak makan sesuatu, aku serta merta jadi rajin nak buat. Pernah pukul 3 pagi teragak nak makan nasik lemak, aku masak pepagi buta tu jugak. Terasa nak makan roti canai, kek coklat kukus, kek span, puding dan sebagainya semua aku buat sendiri. Aku jugak sangat suka tonton rancangan masakan dekat tv.

Berganjak ke temister kedua, aku sudah dapat menahan lapar. Mual dan loya beransur kurang tapi setiap petang, pening kepala pulak menyerang. Sekarang Alhamdulillah kesihatan semuanya ok. Semoga terus dipermudahkan sepanjang mengandung dan sepanjang bersalin nanti. Tak sabar rasanya nak cuti bersalin 90 hari.haha 

Aku pun dah naik bosan baca ayat tunggang terbalik aku dalam entri ni. Jom baca juga pengalaman fiza dekat SINI.



Monday, November 26, 2012

Sirap Kurang Ais, Satu!



Dekat kedai makan, si chubby akan order : Air sirap..ais sikit je..

Sekarang dah pandai cakap utara, kalau dulu, Air sirap..air batu kurang..

Dekat kedai Tok Wan siap dengan lagak gaya tangan dia order : Air sirap satu!

Bila tanya kenapa Aiman suka air sirap? Sebab air sirap faveret Aiman..

Air milo tak sedap? Air milo tak sedap..Air sirap jugak sedap!





Antara banyak-banyak air, air sirap jugak jadi kegemaran si chubby. Pandai dia jimatkan duit ibu abah.haha




Gerakan Baby Makin Aktif



Alhamdulillah baru sudah sarapan koteaw kungfu, tapi kenapa rasa macam tak sedap je kalau masak sendiri? Time pregnant nie kalau dapat makan kat kedai semuanya sedap, masak sendiri tak kena kat tekak sungguh.

Catatan kehamilan lagi. Macam dah takde benda nak cerita. Layan!

Sebelum ni aku dah selalu rasa baby berdenyut dalam perut terutama waktu baring-baring dan rehatkan badan. Lately terasa macam tendangan agak kuat pulak. Benda berlaku cepat, so mula-mula macam tertanya-tanya jugak apakah ini gerakan baby? Walaupun dah ada pengalaman, tetap juga tak pasti. Masa mengandungkan Aiman dulu, aku cuma ingat bagaimana aktifnya dia menyiku. Berombak-ombak perut aku dibuatnya! Kalau pergerakan lembut tu dah lost memory sungguh. 



Rasanya sekarang aku dah makin pasti. Dah banyak kali jugak baby semacam bergerak kuat. Selalu berlaku waktu malam bila aku cuba nak alihkan badan waktu berbaring. Sehari sekurang-kurangnya sekali mesti rasa pergerakan yang buatkan aku terkejut. Yes! baby dah semakin aktif. Tak sabar tunggu kamu mengganas macam abang Aiman dulu.hiks




Sunday, November 25, 2012

Diet GDM : Diabetis Semasa Hamil



Sebenarnya lebih kurang 4% wanita mengandung dikesan menghidap Diabetis Melitus semasa kehamilan (GDM). Penyakit diabetis ini selalunya akan hilang selepas bayi dilahirkan. Maklumat lanjut korang boleh tengok kat SINI.

Bagi ibu mengandung penghidap GDM, aku difahamkan kita perlu untuk berjumpa dietitian sekurang-kurangnya sekali. Seingat aku masa mengandungkan Aiman dulu tak perlu pun jumpa pakar pemakanan ni semua. Masa tu jawatan dietitian ni pun tak popular lagi kot. Pagi tadi aku baru berkesempatan pergi hospital setelah menangguh berkali-kali. So aku nak share apa yang aku dapat masa pertemuan aku dengan dietitian tadi. 




Kalori ibu hamil yang diperlukan dalam sehari boleh dibahagikan kepada 3 temister.

Temister Pertama ( 1-3 bulan ) = 1800 kcal/d 
Temister Kedua ( 4-6 bulan )    = 2200 kcal/d
Temister Ketiga ( 7-9 bulan )    = 2300 kcal/d

Aku diterangkan jugak macam mana nak merancang menu, cadangan sajian karbohidrat, protein, buah-buahan, hidangan susu yang diperlukan dalam sehari dan sebagainya. Nak terangkan secara detail panjang berjela syok sendiri pulak macam korang nak baca je.hiks.  

Satu yang penting aku dapat, aku tak digalakkan untuk minum susu orang hamil sebab kata dietitian tu selalunya kandungan karbohidratnya susu mengandung adalah dua kali ganda dari susu biasa. Aku disarankan untuk minum susu tepung rendah lemak atau susu rendah lemak sebanyak dua hidangan sehari. Setiap hidangan jumlah gulanya lebih kurang 5g saja. Kena rajin baca label la lepas ni. Lepas habiskan anmum, aku nak cuba beli susu tepung lain. En suami kata Alhamdulillah, murah sikit kan harga susu! hikhik




Friday, November 23, 2012

Pengalaman Pertama Mengandung



Seronoknya baca pengalaman rakan blogger dekat SINI. Semestinya setiap wanita berdepan pengalaman pahit manis semasa kehamilan. Cerita alahan dan kelahiran mungkin berbeza, namun kita berkongsi perasaan yang sama saat melihat anak yang dikandung selamat lahir melihat dunia. 

Sekadar berkongsi untuk catatan kenangan. Moga suatu hari anak cucuku dapat membacanya.hoho

Tiga bulan bertunang, tarikh 07.06.2006 aku bernikah. Sebulan kemudian majlis di kedua-dua belah berlangsung serba ringkas. Dalam usia menjangkau 22 tahun, tak terniat dek hati untuk merancang perkahwinan. Aku belum memiliki sebarang pekerjaan pada ketika itu. Membina sebuah rumahtangga juga bukan sesuatu yang mudah kerana impian untuk berbakti pada mak pak belum tercapai. Namun aku percaya semuanya telah tertulis, jodoh pertemuan Allah tentukan.

Intro saja, bukan nak cerita pasal kahwin sebenarnya. Kisah tu mungkin lain tahun aku akan story.hiks..

Aku tinggal bersama mertua selepas bergelar isteri. Aku langsung tak ambil pusing tentang tarikh period walaupun sebenarnya aku ada buat catatan. Kali terakhir datang bulan sewaktu kenduri disebelah pihak aku. Dua bulan berlalu, badan mula sakit-sakit, hari-hariku terasa letih yang amat. Aku jadi kuat tidur dan selera makan terus hilang. Bila malam kepala selalu rasa pening.  

Suatu hari waktu bersembang dengan adik ipar, aku kata terasa nak makan rambutan dan mangga. Tak sangka pulak hari tu jugak abah (bapa mertua) terus pergi beli. Suami sendiri tak ambil kisah pun, sibuk dengan kerja je, sedih!hehe..Tapi sungguh aku dan en suami tak terfikir langsung tentang tanda-tanda aku dah mengandung. En suami pun lebih kurang sama blur jugak dengan aku. Dalam kematangan usia 21 tahun, pada aku cukup muda bagi seorang lelaki ambil pusing ni semua.

Untuk mengesahkan, aku dan en suami ke klinik. Entah macam mana nak dijadikan cerita waktu tu aku memang zero pasal mengandung. Manalah aku tau nak buat ujian kehamilan memerlukan aku buang air. Masuk toilet aku langsung tak dapat kencing. Beberapa kali cuba sampai en suami pergi beli air mineral aku masih juga tak dapat melepaskan hajat. Kelakar rasanya bila diingat, aku ajak en suami balik, kataku esok saja pergi klinik semula!

Esok hari doktor comfirmkan aku mengandung. Beberapa hari kemudian aku buat kad merah. Tak sangka jugak secepat ini walaupun bukan bunting pelamin macam Diana Danielle.haha Aku dan en suami masih tak percaya rupanya aku dah mengandung tiga bulan. Seluruh keluarga ternyata gembira kerana ini cucu pertama di kedua-dua belah pihak.

Tanpa diduga aku terima surat perlantikan jawatan di Kementerian Pertahanan. Aku kena melapor diri di Kuala Lumpur. Syukur, mungkin ini di namakan rezeki anak. Sejak itu, suasana sedih dan risau menyelubungi. Tak sanggup rasanya aku dan en suami berpisah. Masih dalam kehangatan bulan muda pulak tu.kahkah. Sampai sekarang pun kami tak mampu rasanya nak berjauhan walaupun sekejap.ecece 

04.10.2006 selepas tarikh melapor diri, aku terus mengikuti Kursus Induksi khusus selama 3 hari. Hari terakhir kursus aku di beri penempatan jabatan. Aku ditempatkan di Kd Sultan Ismail, TLDM Tg. Pengelih Johor. En suami terpaksa uruskan urusan berhenti kerja dan sebagainya dulu sebelum pindah dan tinggal bersama aku di Johor. Dua minggu pertama aku terpaksa survive seorang diri. Melalui pengalaman mengandung bersendirian diperantauan tanpa teman untuk mengadu tidak terlalu mudah untuk aku lalui. Dengan persekitaran ditempat asing, 14 hari satu tempoh yang cukup panjang tapi sangat manis untuk dikenang.

Jujurnya aku kahwin dalam keadaan tak bersedia. Semua berlaku dalam sekelip mata. Sendiri mengandung pun tak tahu. Sungguh perancangan Allah terbaik buat aku. Perkahwinan dalam usia muda banyak mengajar aku dan en suami tentang erti hidup. Macam tu la lebih kurang pengalaman pertama. Nanti sambung pengalaman kedua pulak..


Wednesday, November 21, 2012

Foto Aiman Mukhlis 5 Tahun



Update laju-laju sebelum pergi beli burger dengan Aiman. Perut dah berkeroncong ni wey!

Terserlah ketembaman

Kemain dia sengih

Dua daripada 5 keping gambar yang ditangkap penghujung syawal tempohari. 5 keping 5R, RM 25.00

Kebetulan Kak Ina (jurugambar) jiran sebelah rumah mertua datang tangkap gambar mak abah sempena hadiah birthday abah. Layankan je permintaan Aiman yang nak sangat bergambar. Baju molek sikit pun takde bawak balik kampung. Belasah je mana ada.hiks..



Friday, November 16, 2012

Memori Tik Tik



Berkulit cerah, berdahi jendul dengan hidung sederhana mancung serta sepasang bibir kecil membuatkan aku puas memperasankan diri aku sangat comel. Aku bersiap cantik. Busana gaun ala princess disarung kebadan. Rambutku disikat belah tengah. Fesyen rambut ciptaan pak tampak elegen untuk budak hingusan macam aku.

Hari itu mentari cemerlang menyinar. Angin bertiup sempoi. Hari yang cukup indah untuk keluar beli belah. Saat terpandang kelibat pakcik penjual tik tik, jari kecilku menunjuk-nunjuk ke sana..

"Pak.. nak tik..tik.."

Tik tik disini berbeza macam mak buat. Ada campur-campur dengan kacang warna hijau, kacang warna coklat dan keropok tak berapa nak bulat-bulat warna merah. Walaupun tik tik buatan tangan mak terbaik didunia, tik tik disini tidak kurang hebatnya dari segi rasa.

Aku menanti dengan perasaan tidak berapa sabar.

Beberapa minit kemudian, sebungkus tik tik sudah bertukar tangan. Dari tangan pakcik india, ke tangan pak dan sekarang didalam gengamanku.

Bunyi tik tik memenuhi ruang menunggu bas. Sungguh aku puas menikmatinya.



* Time kecik muruku tu aku panggil tik tik..sebab bila kita makan kan ada bunyi tik tik.haha..





Thursday, November 15, 2012

Mengesan Jantina Anak Tanpa Ultrasound



Salam Maal Hijrah dan Selamat Tahun Baru,

Sebelum disahkan pregnant, aku memang suka upload gambar baby girl yang comel-comel pastu buat wallpaper netbook. Tak salah kan kalau nak berangan?hiks..Apa pun jantina baby yang bakal lahir aku serahkan pada Allah asalkan sihat dan sempurna sifatnya. Walau bagaimana pun, harapan serta doa untuk memiliki sepasang anak berbeza jantina tetap menjadi idaman. Pernah cakap pada en suami kalau kali ni dapat baby girl, aku nak tutup kilang dah.haha

Hari cuti umum macam ni, kerja pun semacam makan OT buta, aku saja suka-suka mencari info tentang bagaimana cara nak mengesan jantina anak tanpa ujian ultrasound. Jom semak bagaimana caranya!

Tonjolan perut tinggi (runcing) tandanya anak lelaki. Jika tonjolan perut rendah petanda anak perempuan.
Tak tahu nak gambarkan, pregnant kali ni masih baru lagi kan. Tapi kalau dilihat pada perut aku masa mengandungkan Aiman dulu, kebanyakan orang teka aku bakal dapat anak perempuan. Ternyata tekaan meleset.

Morning sickness yang teruk semasa temister pertama petanda anak perempuan dan sebaliknya pula petanda anak lelaki.
Masa Aiman dulu, awal hamil aku hilang selera makan, pening sikit-sikit je dan pregnant kali ni pun cuma rasa mual-mual, tak la sampai muntah hijau. Bagi aku dua-dua kehamilan pun tak teruk sangat.hehe

Suka makanan yang berprotein seperti daging petanda anak lelaki sebaliknya kalau suka makanan manis dan buah-buahan petanda anak perempuan.
Pregnant dua-dua pun aku makan belasah semua.haha. Dua-dua juga aku tak suka makan masam. Pregnant kali ni en suami yang suka makan asam, aku memang sangat suka makanan manis dan buah.

Posisi tidur juga boleh jadi petanda. Kalau suka tidur mengiring sebelah kanan anak lelaki, kalau sebelah kiri anak perempuan.
Yang ni serius tak ambik port sangat. Janji selesa dapat tidur nyenyak sudah!hehe..

Tubuh terasa lebih bengkak terutama bahagian peha dan punggung dipercayai anak perempuan sedang mengambil kecantikan ibunya. Kalau tubuh mengembang kedepan pula petanda anak lelaki.
Mungkin sebab badan mengembang tak senonoh masa mengandungkan Aiman dulu ramai yang kata baby girl. Namun mungkin doa en suami yang nak sangat anak lelaki dimakbulkan Allah.


Cara tradisional serta naluri seorang ibu telah banyak terbukti dalam mengesan gender bayi yang bakal lahir walaupun tidak 100%. Apa kata ibu-ibu sekelian?

* Kalau ikut ramalan ni,sungguh sangat samar-samar nak dapat baby girl.hoho


Tuesday, November 13, 2012

Perubahan Due Date


Salam bahagia,

Cuti-cuti macam ni apa bikin? Nak story sikit pasal appointment dengan pakar semalam. Ini kes kena detect kencing manis tempohari, so sebab RSAT takde doktor pakar, refer appointment dekat KK Bandar aka Hospital lama. Kebetulan malam Ahad tu aku kerja malam. Balik rumah pagi Isnin terus kelam kabut mandi dan siap. 

Nurse RSAT suruh standby sana sebelum pukul 8. Pertama kali kesana dengan tak tahu tempat parking semua aku lewat around 10 minute. Kemudian nak carik Klinik Ibu dan Anak lagi, hati berkata-kata sendiri, wah masak nak kena jalan kaki! Tapi nasib menyebelahi bila mengikut saja langkah kaki bertanya pada seorang nurse yang bermuka ketat, rupanya beliau staf tempat yang aku nak tuju. Aku pandang sekeliling, omak ramai gila manusia! Dengan perasaan tak sedap hati, aku letak buku merah dalam bakul kemudian menunggu nama dipanggil.

Sebagai seorang kakitangan kerajaan yang bekerja di barisan hadapan, penilaian mesti dibuat. haha. 1st impression memang tahap tak berapa nak cantik dengan layanan si penjaga kaunter. Mungkin perasaan sensitif aku saja atau terlalu mengharapkan layanan yang lebih high class. Macam bagus je ko kutu! Bila aku buka mulut bertanya, pakcik kaunter mengangguk saja dengan muka macam tak puas hati. Eh tanya pun salah? mahal sangat ke senyuman awak pakcik? monologku sendiri.  

Hampir lima minit juga berdiri sebelum nama aku dipanggil, seorang nurse minta aku pergi ke kaunter tengah. Dekat sana aku letak buku merah sekali lagi dan duduk dikerusi yang disediakan. Yang lawaknya kerusi siap ikat kiri kanan dengan tali rapia. Pandang dari sudut positif, satu inisiatif yang bagus supaya kerusi semua tak berselerak. Bijak2.. Kerana tak dimaklumkan kena kencing, sehingga nama aku dipanggil baru aku terhegeh-hegeh ke toilet buang air. Buang masa dah dekat situ! Ok salah aku jugak sebab tak tanya.

Lepas check air kencing, diselitkan room no 9 dekat kad. Aku terus kebilik 9, letak kad merah dalam bakul. Terpandang mesej yang dilekatkan dekat dinding suruh timbang sendiri, aku masuk segera mengikut arahan. Tak lama lepas tu seorang nurse lain suruh ke kaunter tengah, timbang kat sana. Alamak? Apakah? Berapa banyak step nak kena tempuh ni? Memang macam ni ekk prosuder klinik sekarang? Almaklum dah lama tak masuk klinik kerajaan.

Aku duduk menunggu lagi. Nama dipanggil buat kesekian kalinya. Kali ni nurse agak friendly, sembang-sembang sikit dengan aku pastu dia check bp. Dah siap semuanya sekali lagi aku di minta letak kad merah dekat bilik 13. Tunggu  sekejap dan akhirnya baru dapat jumpa doktor. Kalau setiap bulan macam ni memang masaklah aku.haha.. Nasib baiklah bulan dua tahun depan nanti baru jumpa doktor pakar sekali lagi. Ni pun kalau kes on diet macam aku la. Kalau cucuk insulin lain cerita! 

Kembali pada story asal. Doktor ni sangat peramah. Beliau sedikit terkejut terlalu awal Doktor RSAT hantar appointment. 

"Selalunya 28minggu baru jumpa saya, ini mesti doktor yang baru nak jadi doktor" 

" Itulah doktor, saya pun letih.." aku menyokong.

Masa scan perut, doktor tanya anak dulu lahir berapa kg? soalan yang sama masa scan doktor RSAT juga. 

"Baby kecik lagi, ni kepala dia kat bawah..biaq p la kepala kat mana pun, dia kecik lagi. Ni denyutan jantung baby.."

Antara nampak dan tidak aku mengangguk-angguk faham. Skrin doktor ni kurang jelas kalau nak dibandingkan dengan RSAT. 

"Mula-mula saya nak ambil tarikh yang doktor ni bagi, tapi sebab measurement dia salah, saya nak bagi tarikh saya"

At last doktor kata nak bagi tarikh baru untuk aku. Ikutkan due date 20hb4. Doktor RSAT scan tempohari bagi tarikh lewat 8hari dan sekarang doktor pakar ni bagi tarikh 4hb5. Sekarang tarikh mana sebenarnya aku nak refer? En suami kata kena ingat tiga-tiga tarikh. Sila share kalau korang ada pengalaman serupa.

* RSAT tu rumah sakit angkatan tentera (klinik askar), bukan apa ada yang tanya sebab tak tahu.hehe.. Jom malam ni kat jam besaq. Mengidam yong tau foo plak. Anyone?haha