Pixajoy

Thursday, June 30, 2016

Aryan & Jaundis



Masa Aiman dulu aku dah merasa masuk wad dua hari sebab anak jaundis. Bila anak melalak kena ambil darah dengan aku sekali melalak. Memang risau la kan tengok anak terbiar sensorang bawah cahaya lampu. Dengar baby nangis je kelam kabut aku pi tengok padahal Aiman dok syok lena. Baru jadi ibu pertama kali tak bertempat la cengengnya masa tu.hihi..

Masa Afia Alhamdulillah tak kena kuning. Aryan ni pulak hari kedua nurse datang lawatan kerumah dia kata tinggi kuningnya. Nurse suruh susukan dengan kerap sebab dia kata kalau dah start pergi check klinik memang kompem kena berulang alik.

Esoknya lawatan nurse minta pergi check klinik juga..sebab nampak kuning Aryan memang tinggi. So kat bawah ni boleh tengok kronologi Aryan Jaundis. 6 hari berturut-turut ulang alik klinik untuk check. Alhamdulillah hari ke 9 nurse kata tak payah pergi check dah. Padahal ikut klinik selagi bacaan darah tak bawah 150 memang kena ulang alik. 



Aku dimaklumkan kalau bacaan jaundis 250 keatas kena admit hospital. 250 kebawah selamat tapi kena ulang alik kehospital setiap hari. Bila bacaan bawah 200 selang sehari ke klinik. Kalau dah bawah 150 baru boleh free tanpa ambil darah. Kes tutup!

Tiga hari pertama check tu bacaan Aryan memang tinggi 251, 255, 253..dah risau dah kena admit hospital. Stress je sepanjang hari tapi nasib kami baik bila doktor kata tak payah masuk wad cuma repeat chek saja esoknya.

Nurse kata doktor tengok pada berapa hari kelahiran juga kot. Aryan kan ke baru lahir pastu bacaan dia lebih sikit saja. Lega banyak disitu. Kalau tak dah tak pasal kena berkampung pulak kat hospital. Pun begitu nurse pesan kalau malamnya anak tak aktif..tak nak menyusu langsung cepat bawa ke emergency takut kuningnya tu naik tinggi.

Alhamdulillah la Aryan kuat menyusu, kencing berak pun banyak..hari ke empat check up tu bacaan dah menunjukkan penurunan yang banyak. Apa petua yang aku praktik untuk kurangkan jaundis nanti la aku buat entry. Dah banyak sangat menaip lapaq pulak. Orang tak puasa nak pi makan sat.haha..





Wednesday, June 29, 2016

Hadiah Untuk Kak Pia



Afia memang suka baby. Dah ada adik baby dia kira dok geram dan nak kiss baby sedia. Gambar malam tadi kurang lighting nak bukak flash orang kata efek mata baby. Alhamdulillah Aryan dah bebas jaundis, tali pusat pun dah luruh pada hari ke 10. 


Sebab jadi kakak yang baik, ibu abah reward Kak Pia dengan kitchen set baru. Beli online dari Lazada. Sukalah dia ada toy masak-masak siap bunyi dan lampu sama macam dia tengok kat youtube. Haritu dok cewi dengan kasut raya..Ni dengan mainan masak pulak. Seisi rumah dia serve dengan makanan.


Reward ni abah dia la punya kerja. Haritu beli mercun pop tu berkotak-kotak sehari je Afia habiskan. Kali ni beli sekotak bunga api kena sorok la dari Afia, sehari main seikat je..Kalau dak selori pun tak cukup.hihi..


Tahun ni tak rasa pun kemeriahan raya. Kuih raya satu apa pun tak beli. Kalau beli pun macam la boleh makan. Terasa kegembiraan nak jumpa sedara mara dan sahabat handai je ni. Sayu rasanya bila nak berakhirnya Ramadhan.










Tuesday, June 28, 2016

Sambung Shopping Raya



Bukan ibu yang shopping ye. Aiman dan Afia yang sambung shopping raya. Dalam pantang kena dok dendiam kat rumah. Nanti raya selak ajelah almari cari baju apa yang sesuai dengan kelebaran badan yang belum susut. Lepas dah bergambar raya kita sarung semula uniform berpantang.haha..

Cuti bersalin ni kan ke 3 bulan. So Afia memang tak hantar ke pengasuh selama ibu bercuti. Dah cakap kalau rindu ke Afia datang je ambil. Kakak-kakak memang dok mai ja rumah ambil dia sedia. Bulan puasa ni dah berapa kali buka rumah mak dia.

Hari yang ibu masuk wad nak bersalin tu memang dok risaukan Afia je, dia tak pernah berenggang malam dengan ibu, tak bagi ibu masuk hospital.huhu kebetulan mak pengasuh call nak bawa dia ke KL bersungguh sangat tak bagi apa pulak katanya nanti. Katanya dah janji dengan Afia nak bawa dia. Afia ikut depa ke KL sehari semalam esoknya ibu dah keluar hospital. Ada hikmahnya disitu. Dia pun ok je ramai yang melayan kan..Dah besar ibu yang risau lebih.hehe..

Haritu kebetulan whatsapp dengan Kak Na..dia kata nak bawa Afia shopping raya. Baju raya pun Kak Na belikan online untuk Afia. Baju batwing yang ibu beli dia tak suka. Kemain kan. Untunglah orang ada dua mak ni.hehe..

Terlanjur ikut Kak Na shopping ibu minta tolong depa belikan kasut dan tudung raya untuk Afia. Haritu tak sempat nak beli, abah depa mana la reti sangat kan. Hari yang sama abah dan Aiman juga keluar shopping untuk baju melayu, songkok, baju seluar jalan dan kasut raya Aiman. 

Bershopping sakan la Afia ikut Kak Na sekali beli barang buat kuih raya. Malam tu sambung tidur kat rumah mak dia lagi buat kuih raya. Kasut raya tu dok pakai buang melaram dalam umah je selagi tak raya. 

Tetiba kawan ibu printscreen gambar ni kat fb. Ada juga dapat gambar Afia bertudung Kak Na whatsapp ke ibu. Kerlass tak Afia masuk IG Zara Shawl. Tak sangka Zara Shawl ni kawan kepada kawan ibu..Owner Zara Shawl ni dok puji melambung la kecomelan anak dara ibu. Alhamdulillah.hahaha..


Setel dah segala persiapan baju raya anak-anak. Ibu dengan Aryan je takdak baju raya.huhu..





Monday, June 27, 2016

Introducing Aryan Nufael



Kami sepakat memilih nama Aryan Nufael untuk anaknda ketiga kami. Semalam baru selesai sesi pendaftaran nama adik baby. Bermula hari ketiga setiap hari dok ulang alik klinik check jaundis. Ni baru lega sikit dah turun kuningnya. Nantilah kalau rajin ibu buat special entry pasal Aryan dan jaundis.

Nama Aryan tu pilihan abah dan Nufael tu pilihan ibu. Aryan bermaksud kekuatan penuh. Nufael maksudnya Anugerah. Memang dari mula kan tak plan nak bagi kak pia adik dalam waktu terdekat..kira Aryan Nufael ni memang anugerah terindah untuk keluarga kami.

Sejak dari dalam perut lagi ibu dah berkenan nama Nufail tu. Keluar baby Kak Pia dok panggil baby Fael. En suami berkenan nama Aryan Amsyar so aku tak kisah la..dah blur nak letak nama apa. Cari punya cari permulaan huruf A untuk nama anak lelaki memang susah. Kebanyakan nama dah banyak sangat orang pakai. Akhirnya kita pilih Aryan Nufael juga.

Nama Nufael diambil sempena nama sahabat merangkap sepupu yang rupanya mirip Rasulallah, Nufail Ibn Harits. Nufail ni lebih tua dari Rasulallah dan qadi pertama dalam Islam. Orangnya lembut, merupakan seorang penyair yang menulis syair indah tentang Islam. Harapan ibu semoga Aryan Nufael mencontohi akhlak dan sifat mahmudah sepupu nabi ni.

Aku share gambar Aryan hanya di WA family dan kawan terdekat. So hari ni introducing Aryan Nufael. Tengok pepuas dari Day 1 sampai Day 9. Day 7 dan Day 8 takda pulak, stress dengan kuning kot masa tu sampai tak fikir nak snap gambar baby.haha...

Day 1 : 4 hours after deliver


Day 2

Day 3

Day 4

Day 5

Day 5

Day 6

Day 9

Walaupun Aryan lahir 3.46kg..Aryan ni kecik je tau..tinggi dan berat tulang je kot. Baka pun sado kan.hehe..





Sunday, June 26, 2016

Adik Aiman Afia



Syukur sangat akhirnya penantian selama 40 minggu berakhir. Adik Aiman Afia lahir genap pada due date 18.06.2016 bersamaan 13 Ramadhan 1437 Hijrah. 

Anak Ramadhan kami ni Alhamdulillah sihat walafiat sempurna sifat dilahirkan secara normal di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani pada 5.59  ptg dengan berat 3.46kg, panjang 55cm, lilitan kepala 34cm. Alahai skema detail betui la ayat.hahaha...




Insyaallah nanti aku up gambar baby beserta nama. Baru nak panas enjin balik berblog je ni. Jangan lepas ni kelaut balik dah le.






Saturday, June 25, 2016

Rambut Raya Afia



Alhamdulillah aku dah selamat bersalin 18hb tempohari. Nanti la ye cerita pasal adik baby dan pengalaman bersalin yang agak ngeri. Ni nak tempek rambut raya kak pia dulu.hehe..

Tak tahulah camna dan dimana boleh berjangkit kutu..tetiba je maktok jumpa kutu kat kepala Afia. Terus abah depa operasi cari dan basmi kutu. Ikutkan memang sayang sangat dengan rambut curly Afia, rambut mahai tu pi mana orang tegur cantik. Takpelah nanti panjang balik kan. Potong pendek ni senang la sikit nak urus.

Buat pertama kalinya selama 3 tahun first time Afia rasa pengalaman potong rambut. Selalu ikut ibu pergi potong rambut Abang Aiman je. Bila barbers Abang Aiman tu usik minta potong rambut dia kemain punya marah. Memang tak pernah potong rambut dia..Afia pun tak nak potong sebab tak cantik katanya.huhu. 

Abah bawa Afia ke kedai nyonya depan tempat kerja abah minta anty tolong potongkan camna pun takpa. Senang je kan orang laki.huhu..Nyonya kata baguih la anak u..biasa budak pertama kali potong takda camni wo. Memang dia dok dendiam tak bergerak pusing langsung kata abah.hehe..







Rambut pendek dah macam nyonya.haha..Anty pun kata macam anak cina. Sakan la dia posing dengan mulut muncung tu pulun sangat kan.hakhak





Thursday, June 09, 2016

Pengalaman Puasa Ketika Sarat Mengandung



Salam 4 Ramadhan. Dua tahun lepas merasa pengalaman berpuasa ketika menyusukan anak, tahun ni ingatkan boleh la diet waktu berpuasa tapi dah jadi lain.hehe. Hari ni usia kandungan 38 week 5 day. Alhamdulillah 3 hari dah kan dapat berpuasa penuh sebagai ibu sarat mengandung, dah boleh share pengalaman dah kot.harhar..

Hari pertama puasa agak struggle mungkin sebab belum dapat rentak. Kebetulan 1 Ramadhan tu cuti, jadi melepak baring dan tidur aje kerjanya. Sehari memang tak buat apa-apa aktiviti selain lipat kain baju yang selori dalam bilik. Tu pun rasa dah lepak sangat. Sahur tu menu simple saja sambal ketuk, ikan bilis goreng plus telur mata. Selera je makan macam biasa, tak kerja so ingat boleh la puasa penuh.

Bila petang around pukul 5 tu rasa kering tekak gila, ketaq kaki tapi memikirkan tak berapa jam lagi nak buka aku gagahi jua. Solat pun dalam keadaan duduk. Dah lemau asyik tidur je baby pun lemau gak kurang aktif. Konon la nak ke bazar Kepala Batas port peberet kami tapi en suami larang, katanya kalau aku pengsan tengah jalan naya.haha. 

Afia yang dah sibuk siap pakai baju nak ke pasar katanya ikut abah dan abang Aiman ke bazar berdekatan. Aku hanya masak nasi dan buat air cincau. En suami beli ayam golek sekor plus daging bakar plus kerabu kaki plus karipap, tu je la menu berbuka. Berbuka pun aku rilex je makan dengan banyaknya.hihi..

Esoknya 2 Ramadhan sahur nasi goreng. Hari ni kerja pagi so aku macam tak berapa confident la sangat boleh bertahan puasa sampai petang. Lagipun memang planning lepas Zohor tu nak shopping baju raya anak-anak. Jahat tau dah niat nak buka puasa je kot lepas balik kerja.haha..Tak sangka hari ni Allah bagi kekuatan luar biasa. Baby pun aktif je gerak. Kuat aku sepanjang hari. Pergi Parkson pastu ke Tesco kuat sungguh jalan walaupun bawak perut besar. Lumrah wanita kot, bab shopping number 1.hahaha..

Lepas shopping terus berbuka kat kedai. Ambil set untuk 4 orang makan menu siakap sweet sour, tomyam campur, daging masak merah, telur dadar dan kailan ikan masin. Air fresh orange 3 gelas complete termasuk dalam set. Punya tamak pergi tambah lagi kerabu mangga. Sudahnya tak larat nak menghabiskan. Nasib la ada mak buyung dengan pak yang lama membuyung ni. Ratah lauk bagi selesai juga. Sory ye tayang makanan, bagi chance la tak berapa hari je lagi aku nak makan sedap.hehe..


Pagi esoknya sahur masih sendawa menu berbuka semalam tengok nasi dah tak lalu. Sediakan roti dengan kaya pun tak siapa sentuh. Sahur makan cornflakes dengan air nestum saja lor.


Alhamdulillah Allah permudahkan juga puasa ketiga. Tak rasa lapar dan dahaga langsung cuma penat dan mengantuk sikit. Balik kerja tidur kejap pastu sejam lagi nak berbuka baru kalut masak. Menu simple telur dadar, terung bakar dengan sambal ikan bilis je mampu masak. En suami balik berbuka kat rumah belikan murtabak and again aku buat air cincau.  

Selagi sihat dan tak ada keletihan melampau yang boleh menjejaskan kesihatan ibu dan baby rasaya takdelah susah sangat nak puasa walaupun tengah sarat mengandung. Yang penting minum air banyak dan makan kurma waktu sahur dan berbuka. Itu je yang aku amalkan. Yang lain tu Insyaallah Allah bantu..janji niat kita baik, nak mengganti puasa nanti lepas bersalin tengah menyusu cabaran juga tu. Semoga Allah permudahkan aku puasa penuh sampai deliver nanti.







Wednesday, June 08, 2016

Shopping Raya Annivesary Celebration



Memikirkan cuti en suami yang masih berbaki, semalam outing la juga untuk shopping raya. Hari ni en suami dah start kerja, aku pun dah nak bersalin rasa suntuk sangat dah masa nak cari baju raya anaknda berdua.

Pergi Parkson Afia buat perangai sungguh dok melalak dalam mall nak mainan. Nak mencari baju Aiman dengan seluar dia yang payah saiz tu tak senang jadinya. Dapat hunting baju abah depa dengan baju Afia je. Tu pun dalam keadaan kalut pilih.

Pujuk Afia nanti cari toy dekat Tesco pun tak berapa nak jalan. Kat Tesco dia behave kejap pastu mula buat perangai balik. Tengok nestum nak..tengok honey star nak. Pergi kat side mainan dia tunjuk juga itu ini pastu bila terus jalan dah terus lupa pasal toys. So kita menyoping barang berpantang ibu ajelah.hehe..



Sepanjang 10 tahun tak pernah pun beria nak celebrate annivesary. Hadiah dari segi material ni tak pernah kita amalkan walaupun untuk birthday anak. Hadiah tak penting, tapi makan tu penting tau.haha..Kami decide berbuka di D'Yasmin,  konon la kan celebrate annivesary padahal dah kebetulan outing. 




Sebab lagi sejam nak berbuka, tak nak amik risiko Afia buat perangai kami order makan dulu pastu pergi meronda. Nampak Fairy tersinggah pulak. Afia macam biasa demand cupcake. Tak planning pun nak beli kek annivesary, tapi dah terlanjur masuk kedai pilih ajelah kek paling murah pastu bayar.hehe..


Konon tadi tak nak baju raya..sampai rumah sibuk dia menerai gaun dengan baju baru siap posing ke abah tanya cantik tak Kak Pia. Dok tengah main masak-masak dengan baju baru tak nak salin tengok senyap je rupanya dah tidur. Letih sangat gayanya penuh mainan keliling sampai bawah badan. Anak oh anak...





Tuesday, June 07, 2016

10th Annivesary



7 Jun 2006..Kali ni sambut dibulan mulia penuh keberkatan. 10 tahun dah ye..cepatnya masa jalan. Alhamdulillah!

Afia la ni dok main punggah album. Nak kemas semula ternampak album kawen. Tetiba terasa mahu mengimbau kenangan. Pertama kali kot tempek di blog. Berutung tau hangpa boleh tengok gambaq PK kawen. Rare sangat ni.Masa ni digital kamera pun baru nak up.hakhak...


Sayang...

Selamat ulangtahun perkahwinan,

Kita telah melalui terlalu banyak hal bersama

Menangis ketawa..

Bersedih gembira..

Terluka bahagia..

Terima kasih kerana..

Melukiskan warna indah dihati saya

Selama 10 tahun ini...

Semoga hari mendatang

Sampai kapan pun..

Saya mahu terus nyaman

Berada dalam hangat pelukmu

Dunia sampai akhirat..


Sekian puisi dari isteri tak sempurna. Sebab angka 10 ni sangat istimewa, izinkan ajelah aku berjiwang sekali sekala. Ni pun boleh en suami kata aku copy dekat group mana. Beliau tak tahu ke yang isteri beliau ni punya bakat berpuisi, cuma dah lama je tak praktik.hehe..







Monday, June 06, 2016

Teenage Mutant Ninja Turtles : Out Of The Shadows



Friday family outing kami nonton wayang lagi! Ini macam filem terakhir bagi aku yang akan bersara lama. Aktiviti bercinema bukan lagi sesuai buat yang ada anak kecik. Yang pasti Aiman dan abahnya sentiasa on berdua kepanggung tanpa kami. Ini sangat tidak adil bukan.haha..

Kali ni tengok Ninja Turtles. Filem Michael Bay yang en suami nak tengok sangat ni ternyata berbaloi ditonton. Walaupun Ninja Turtles ni filem sains fiksyen action, sebab banyak komedinya tu memang menghiburkan. Aku yang tak pernah ikut langsung perkembangan Ninja Turtles pun tak sesat la tengok, boleh faham dan enjoy.

Dari mula cerita tak meleret, padat plot cerita, sesuai la dengan durasi 1 jam 52 minit. Perlu ke aku review filem ni? Filem tak gah pun dari segi promosi..tapi terbaiklah..grafik pun cantik. Pergi la tengok...memang best! 

Beli tiket on the spot, tayangan pukul 3.20 pm tengok dekat MBO Central Square, ambil coupe set dua. Posing background angry bird pun bolehlah kan. Poster Ninja Turtles tak nampak langsung.



Dah sudah..kita suruh posing elok-elok macam-macam gaya dia bagi, dah malas nak snap picture semua goyang. Jom masuk panggung jom!


Couple seat lebih selesa tapi ada anak dua setengah (dalam tummy kira setengah) tak boleh la nak bermanja macam pasangan bercinta. Ibu partner sama Afia, abah sama Abang Aiman.


Afia dari rumah tak sabar sangat nak tengok wayang tapi bila movie start dia minta tengok youtube. Alahai nak tengok youtube baik tengok kat rumah. At least kali ni Afia langsung tak beri gangguan. Mula duduk elok pegang handphone pastu minta baring tak lama pastu tertidur.hehe..

Walaupun filem best, nak hujung cerita aku tak dapat tahan mata boleh terlelap juga sekejap. Rugi oii masa depa lawan-lawan tu dah miss tengok. Jaga pun Ninja Turtles dah terima anugerah kunci memasing. Memang rekod ni 3 kali berturut tengok wayang aku tidur dalam panggung. Sejak zaman muda dulu pun memang suka lena bila tengok wayang. Badan banyak cacing kot.haha

Keluar panggung jalan-jalan kejap kena aiskrim sempat hunting T-shirt raya Aiman. Kata en suami asyik tengok sales rambang mata duit takda tak guna.hehe. Bayar parking masuk car Afia peluk baby doll dia sambil tepuk belakang gaya mak pujuk anak,

"Sshhhh..ala kak pia pi sat ja.."

Wah drama sangat! 

Kalau tak kata tinggalkan doll dalam car bagi baby sleep memang sampai dalam panggung dia angkut baby dia.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan..Selamat berpuasa buat semua! 





Friday, June 03, 2016

Persediaan Berpantang



Dok tunggu masa je ni nak bersalin, sepatutnya dah lengkap la kan persiapan untuk berpantang. Basically semua dah cukup la kot. Aku pantang jenis simple je..berurut, jaga makan, mandi air panas, telan ubat pantang, berstokin, bertungku, berbengkung je pun. Tu pun bab mandi, bertungku dan bebengkung bukan istiqomah sangat.haha. Param pilis apa benda tu memang tak pernah guna. Tapi dalam set NR tu ada juga kan Minyak Herbanika yang fungsinya sama macam param. 

Ubat Bersalin


Tempohari dah beli Set Bersalin NR, so sepanjang pantang aku akan consume Phytonatal dan Akar Herbanika ni. Walaupun katanya NR ni bukan jamu, dia herba dan mesra jaundis, sebolehnya aku tak nak ambil risiko kot la anak kuning. Buat permulaan aku akan makan dulu Set Bersalin Basic Shaklee ( Vitalea, Vitamin C, Zinc Complex dan B Complex). Ubat yang hospital bekalkan pun aku akan cuba makan sampai habis. Paling cepat mungkin 2 minggu lepas bersalin baru aku akan mulakan dengan NR. 

Mandian Herba, Lulur dan Scrub.


Kalau dok kampung mungkin senang nak dapatkan serai wangi apa mak nenek yang fresh tu. Sekarang dah banyak jual yang jenis bunjut dan herba kering. Aku beli Mandian Herba Nawal ni. Senang sikit kerja. Nanti tinggal rebus je. Untuk lulur guna Herbanika NR pastu skrub tu dari D' Herbs, en suami dapat free dari Dato Alif terlajak laris. Aku rembat untuk guna dalam pantang. Kalau tak gebu lagi nanti tak tau la.hehe..

Bertungku



Bab bertungku ni biasanya memang aku guna daun mengkudu. Tak tahu la aku en suami nak cari kat mana nanti. Sepanjang ada stok daun mengkudu mungkin aku akan bertungku secara tradisional kot, balut tungku dengan daun mengkudu dan kain. Lepas tu pakai Sarung Tungku Herba je la. Aku beli untuk mudahkan aku bertungku sendiri nanti bila mak dah tak ada, en suami pun dah naik kerja.

Cucian Miss V


Lepas bersalin aku biasa guna ubat luka yang doktor beri. Cara tradisional untuk cepat sembuhkan luka, aku basuh dengan air suam yang direndam asam keping or garam. Bila luka dah sembuh baru la cuba guna Uncang Cuci Herbanika ni rasanya. Tengok keadaan la. Tapi sebolehnya tak nak ambil risiko takut tak sesuai dan luka lambat sembuh. Melalui apa yang aku baca pun katanya memang kena elakkan ubat tradisional atau herba dalam tempoh 10 hari luka dijahit. Wallahualam.

Berbengkung


Dok berangan dalam pantang siang nak pakai bengkung jenis tali..malam pakai bengkung moden. Tak tau la kot terus jadi angan-angan mat jenin sampai kesudah.hehe.

Yang jenis tali ni beli masa Afia dulu. Benda dah ada guna yang ni je la tak beli baru pun. Mula macam nak beli lagi satu bengkung moden untuk pakai waktu malam, senang tak payah nak bertali segala, tapi bila fikir mana tahu kot tak dapat bersalin normal (walau tak minta czer tapi bersedia dengan sebarang kemungkinan) dah kena beli bengkung yang sesuai untuk czer plak kan. So aku ambil keputusan kalau nak beli pun beli je bengkung moden lepas bersalin. Order online, nanti sampai dimuka pintu. Agak macam malas nak bengkung tak payah beli terus.hihi

Untuk berbengkung biasanya memang aku guna cara tradisional sapu dengan campuran kapur makan dan limau. Katanya tukang urut nak sediakan sekali ubat barut, tak tahulah jenis apa..tapi aku fikir agak-agak dah malas terus sapu je dengan Krim Herbanika Barut NR. Lagi-lagi waktu malam tak kuasa dah nak bancuh kapur. Ni pun kalau malam macam la aku rajin berbengkung sangat kan. Silap-silap tak luak krim ni. Belum pantang lagi semangat dah tak kental.haha..

Makanan Berpantang

Biskut pantang tu perkara wajib la. Mesti sentiasa ada stok. Dalam pantang memang bernafsu aku dengan biskut. Orang menyusu ni lapaq kot. Selain tu stok susu tepung, milo, nestum, horlicks, oat dan cereals kena sediakan juga. Makanan sunnah macam kurma, kismis, buah tin dan madu tak dilupa. 

Menu berpantang mula-mula memang mak mertua masakkan. Dah mak yang nak jaga sepanjang seminggu dua dalam pantang. Menu mak aku dah boleh agak, biasanya ikan singgang, ikan bilis sangai, lada hitam tumbuk pastu sup sayur sawi. Pi mai pi mai itu je la menunya. Lepas mak tak ada pepandai la aku masak sendiri ikut tekak aku. Yang penting memang akan elakkan minyak..semua masak rebus dan bakar sahaja sepanjang pantang. Katanya nak cepat kurus kan.huhu 

Tukang Urut

Aku akan berurut selama tiga hari je la macam sebelum-sebelum ni. Tukang urutnya macam dah ada..nanti kena call sekali lagi untuk double comfirm. Kalau tak ada sangat tukang urut terpaksa la guna khidmat mak bidan yang sama masa bersalin Afia dulu. Kalau boleh aku nak cuba orang lain..bagi aku skill urutan dia tak best langsung pun. Mungkin tak sedap bagi aku..tapi best bagi orang lain. Pastu kalau sempat nanti balik kampung mungkin akan ambil servis kawan aku untuk buat urut sekali lagi. Berapa banyak mungkin daaa...

Semoga dipermudahkan fasa bersalin dan fasa berpantang hendaknya. Amin!






Thursday, June 02, 2016

Aiman Ke Stesen KTM



Kisah hari Selasa tempohari. Aiman excited ikut abah hantar Wan Maktok ke stesen KTM. Wan Maktok ni macam biasa la sejak tinggal berdua keja jalan je.hehe. Kali ni nak balik Johor, naik train dari SP ke KL.

Dah lama tak naik train kata Aiman. Afia lagi kesian..bas pun tak pernah naik. Kira Aiman untung tau merasa juga naik bas dan keretapi. Nantilah nak..kita planning lain. Hujung tahun ke bagi adik baby besar sikit. Insyaallah ada rezeki ibu abah bawak naik ETS ye.





Abah whatsapp ke ibu punya banyak gambar dekat stesen KTM. Siap video ETS bergerak ok. Overexcited lebih dari Wan Maktok yang naik train.hehe..







Wednesday, June 01, 2016

Air Selusuh Akar Fatimah



Haritu sembang dekat group WA terkeluar cerita pasal akar fatimah. Aku pun kurang arif la sangat pasal akar fatimah. Yang aku tau benda ni memang takda kat Malaysia, biasa orang beli dekat Mekah. Fungsinya tentulah untuk memudahkan proses bersalin, sebagai air selusuh untuk cepatkan bukaan serviks. 

Kawan aku yang sama-sama pregnant kata, kalau nak akar fatimah ni dia nak pinjamkan..mak dia beli masa pergi buat umrah. Ada dua bijik (betul ke penjodoh bilangannya.hihi) so pinjamkan kat aku satu..nanti lepas bersalin aku pulangkan la. Benda ni takda expired date..boleh keringkan semula dan pakai beberapa keturunan. Kak dengan adik dia minum memang mudah bersalin.

Balik kampung Jumaat lepas aku pi ambil. Buat yang tak pernah tengok camni la rupanya. Ada yang saiz lagi besar. 


Akar ni katanya kena rendam dengan air sampai kembang pastu minum bila dah mula kontraksi. Ada yang kata tak boleh minum awal..ada yang kata dah boleh mula minum seawal 7 bulan. Kata mak kawan aku tu..bila dah mula turun tanda dah boleh minum. 

Sebelum telan bulat-bulat aku buat la sedikit research. Bila dah mula google macam-macam versi cara penggunaan sampai ke pro dan kontra air akar fatimah ni menjadikan aku konpius.

Kalau baca tentang kebaikan akar fatimah, rasa nak je mula minum dari sekarang, aku kalau boleh memang nak bersalin awal.hehe. Tapi disisi lain jadi takut. Katanya nak minum pun kena dapatkan nasihat doktor. Kebanyakan ahli medik memang tak galakkan ambil. Air ni lebih banyak mudarat dari baik. Fungsinya sama macam ubat induce kat hospital tu.

Akhirnya aku dalam dilema. Apa nak buat ni..nak minum ke tidak ye. Seriau pulak ada kes sampai boleh sebabkan kematian baby woo. Walaupun ni semua takdir, sakit bersalin tu pun kira rezeki memasing, benda ni tetap merisaukan. Sesiapa ada pengalaman mintak tolong share. 

Sekarang pun dah masuk 37 week. Dua tiga hari ni memang dok rasa baby mengeras tak selesa. Bila en suami usap perut tu rasa sedap gila. Aku macam dah mula ada kontraksi sikit-sikit. Apa orang putih panggil braxton hicks. Entahlah anak nak masuk  3 pun tak reti la aku nak bezakan. 

Nanti kalau sempat aku share kebaikan dan keburukan air akar fatimah. Sekarang tak berapa rajin lagi nak menaip.