Pixajoy

Friday, May 31, 2013

Soalan Abang Aiman



Aiman sekarang dah makin sayang adik. Dah boleh diharap tengokkan adik. Tapi ikut mood dia la.hehe.. Pantang je Afia jaga beliakkan mata, sibuk dah nak main dengan adik. Kadang-kadang macam terharu sikit bila dia keluarkan statement, 

"ibu boleh mandikan Aiman tak? dah lama ibu tak mandikan Aiman". 

"Dah lama ibu tak bacakan Aiman buku". 



Budak yang makin membesar, akal pun makin banyak.  Macam-macam soalan yang ditanya. Seiring dengan kematangan, soalan pun dah makin advance.


"Ibu, macam mana kalau Allah tu jahat, Allah tu menyamar?"


Benda berkaitan agama dan kepercayaan ni bukan boleh dibuat main. Kalau korang apa nak jawab?




Thursday, May 30, 2013

Beli Online Barang Baby Murah





Ada yang tanya mana aku beli headband Afia. So nak share online shop yang jual barang baby termurah dan berbaloi. So far yang aku jumpa  QQ Baby Centre barangnya memang termurah.

Selain headband tiga bijik, aku beli sepasang sock comel, 3D socks 4 pasang, mainan Lamaze dan rompers 2 set. Jimat duit posting  bila beli sekali banyak.

Rompers ni dekat online shop lain boleh jejak RM35 satu set. Satu set ada 5 pasang, dekat sini aku beli dua set, RM50. Jadinya sepasang rompers harganya cuma RM5 la kan. Gila punya murah! 

Namanya baby cepat besar, kena la bijak membeli. Aku beli satu set umur 3 bulan dan satu set lagi umur setahun. Ni rompers yang Afia dah pakai :

Day 18

Day 19


Untuk abang Aiman takde ke? Abang Aiman tak boleh shopping online. Takde saiz harap maklum.hehe.. 






Cara Membersihkan Tali Pusat Bayi





Tali pusat Afia tanggal pada hari ke 10. Lambat gak la kalau nak dibandingkan dengan Aiman dulu, hari ke 6. Mungkin juga sebab hampir dua hari tak sapukan ubat pusat (spirit). Benda tu tertumpah, en suami pulak kerja tak sempat pergi beli dekat farmasi.

Yang paling penting kena pastikan tali pusat sentiasa kering dan bersih

Paling senang guna cotton bud yang dicelup dalam air spirit, sapu pada sekitar pusat. Sapukan dua kali atau lebih dalam sehari. Lagi rajin sapu ubat, lebih cepat tali pusat tanggal adik ipar aku kata bukan aku yang kata.huhu

Jangan ulang celup cotton bud yang sama dalam spirit lepas sapu pada pusat. Gunakan cotton bud yang baru. Ini untuk pastikan tak berlaku jangkitan kuman.

Bila tali pusat dah tanggal, gunakan cotton bud bersihkan pusat guna air suam. Lepas dah bersih baru sapu dengan spirit. Kalau nak lagi cepat kering mak mertua aku kata guna je minyak gamat.






Wednesday, May 29, 2013

Pengalaman Bersalinkan Afia Imanina Part 2


Part 1 dekat SINI


Aku turun LR around 4pm. Serius tak ingat bilik no berapa. Tak sempat fikir nak ambik detail pasal ni semua. Masuk je nurse mintak buangkan kain pastu terbalikkan baju hospital, butang ikut belakang. Aku terus baring bersedia dilakukan apa saja. Firstly memang kena seluk la. Baru je kot tadi doktor seluk. Still 3cm.

Baring la kt LR menunggu. Time ni memang tak sakit. Bukan maksud takde kontraksi langsung, bagi aku memang tak sakit la. Rasa sakit perut yang terlalu biasa. Nurse keluar masuk pantau aku. Seorang doktor lelaki melayu pun asyik keluar masuk depan pintu. Mula-mula aku ingat sapa la dia ni, pakai kemeja biasa je takde gaya doktor pun.

Lepas ni aku memang dah lupa pasal jam semua. Aku belasah je cerita. Gila kot nak bawak buku nota catat segala detail dalam keadaan genting macam ni. Tau la blogger.hakhak..Tak lama lepas tu datang seorang nurse pelatih, comel orangnya. Muka banyak senyum. Dia check bp dan ajak sembang. Sebab tak sakit kemain galak aku tanya macam-macam kat adik ni. 

Datang pulak seorang doktor melayu perempuan. Nampak macam doktor baru. Tengok gaya lemah lembut. Doktor ni seluk dah 4cm kemudian dia pecahkan air ketuban. Agak terlebih waspada doktor ni buat kerja. Siap cakap saya tak berapa nak cekap, takut kena kepala baby. Dua tiga kali dia buat aku terasa air suam mengalir keluar. Lepas pecahkan air ketuban memang dok menunggu je la jalan buka.

Buka 4cm pun aku masih sakit biasa-biasa. Lama menunggu, doktor yang pecahkan ketuban tadi datang cucuk kat tangan. Aku tanya dekat adik pelatih tu apa benda ni. Dia terangkan depa nak masukkan air dan ubat. Apa yang aku jangka memang sah la. Aku kena induce drip. Nak lari dari induce masuk ubat bawah la konon. Padan muka! 

Bila dah start induce, kontraksi pun mula dengan jayanya. Aku yang tadi dok sengih-sengih dah mula rasa sakit yang cukup mencabar. Makin lama makin sakit. Mulut tak berhenti dok baca doa nabi Yunus. Ternyata aku terlalu awal membuat ramalan yang bersalin kali ni tak sakit mana. Nurse datang cucuk kat belakang, katanya ubat tahan sakit. Aku tanya adik pelatih tu "epidural ke?" Dia kata ya. Aku tak request pun depa bagi.

Doktor lelaki melayu tadi pulak datang seluk. Kali ni aku rasa macam dia cukup ganas berbanding doktor-doktor yang sebelumnya. Dah la main seluk je tak say sorry or keluarkan bagai sepatah perkataan. Macam takde etika sikit. Ceh kemain aku komen doktor. Dia robek-robek lagi ada la sakit sikit tapi aku tahan je. Aku agak dengan rasa sakit yang sedang aku alami bukaan mesti around 6cm or 7cm. Yang amat mendukacitakan bukaan still 4cm. 

Agaknya time ni la en suami, mak dan Aiman dok tunggu kat luar LR. En suami tanya nurse kata baru 4cm. Sebab dah lama menunggu en suami balik hantar mak dan Aiman. Lepas solat maghrib dan Isyak baru datang hospital. Sampai je aku dah selamat bersalin. So bersalin kali ni en suami tak temankan ok!

Entah kenapa aku tiba-tiba rasa kecewa yang amat sangat. Ditambah perasaan nak marah doktor ganas yang seluk tadi aku nangis tak henti-henti. Automatik kot sedih gaya macam baru mati laki. Bukan nangis sebab sakit, tapi kecewa kenapa bukaan masih 4cm? Walaupun nangis aku tak berbunyi, mata aku pejam, air mata berderai tak henti-henti.

Staff nurse datang bagi oksigen letak dekat mulut. Katanya oksigen untuk baby. Tak pasti aku apa fungsinya. Adik pelatih dok kata ctg tak cantik. Baby bantai tido lagi dalam keadaan macam ni. Kuat tido sungguh macam ibu dia. Adik pelatih tu dok goyang-goyang perut kejut baby buat derk. Ni la musibahnya time pregnant aku kuat tido. Nak gelak pun ada tapi aku maintain nangis keluar air mata, sedih belum habis.hakhak

Sebab baby dok tido, depa stopkan sekejap ubat drip. Doktor perempuan yang pecahkan ketuban tadi datang. Dia tengok aku nangis dia pegang aku gaya pujuk "eh kenapa ni? tak mau sedih-sedih, kami buat bagi selamat semua, jangan risau.." Gaya ayat dengan kata penuh syahdu dia buatkan aku makin sedih. Bercucuran lagi air mata buat kesekian kalinya. Kali ni lebih hebat. Siap ada sikit effect bunyi sedu sedan.hoho

Lama aku nangis pastu datang balik kekuatan. Awat la aku lembik sangat. Semangat aku yang hilang tadi tiba-tiba datang balik. Adik pelatih tanya "kak nak minum?" Aku memang dahaga, kering gila tekak mulut dok terkumat kamit baca doa dah berapa jam. Tapi aku cakap, "takpe dik, nanti nak terkencing pulak."

Staff nurse tanya adik pelatih dengan perkataan medic apa benda. Rupanya dia suruh keluarkan air kencing. Menyesal tak sudah aku tolak air tadi. Kalau tau depa nak masuk tiup keluarkan air kencing baik aku minum. Ada rasa pedih sikit masa nak masukkan tiup air kencing. Tu dia selambak air kencing adik pelatih keluarkan. Katanya "dah nampak kepala baby dah kak. Tak lama dah ni". Lama tak lama dari pukul 4 sampai pukul 8 dah 4jam kot aku kat LR. Adik pelatih kata bukaan rasanya dah 6-7cm. Kadang-kadang air kencing banyak boleh gak menghalang kepala baby turun. 

Sakit memang sakit. Masa bersalinkan Aiman dulu tak sakit macam ni.  Adik pelatih bagi gas suruh sedut pun haram tak membantu. Sebab sakit sangat aku sedut je la. Ada rasa mamai sikit-sikit tapi bila kontraksi datang, aku sedut macam mana pun memang tak membantu langsung. Epidural tadi tak cucuk pun takpe kot. Tak membantu jugak. Sakitnya ya Rabbi je tau.

Aku mengiring ke kiri pun tak mengurangkan walau sikit rasa sakit. Adik pelatih tolong urut belakang tak membantu jugak. Dia dok ajak sembang. Dalam keadaan sakit aku layan gak sembang. Sambil tu mulut terkumat kamit lagi baca doa. Makin lama makin sakit. Aku dah tak dapat tahan. Aku dah mengerang kesakitan. Dah cuba tak nak keluarkan suara tapi sakit tak menahan. Dah gaya orang hilang akal sebab sakit sangat.

Nak bagitau betapa sakit, dua perenggan aku ulang pasal sakit.haha.."dah tak tahan nak teran ni.." Adik pelatih suruh kankang, dia check "tapi belum full lagi ni..". Gila la belum full aku sakit nak mampus dah. Yang ni dialog dalam hati je la. Gas dok sedut lagi walau tak membantu. Kan aku kata dah rupa orang hilang akal, benda yang takde fungsi pun aku bantai sedut.

Akhirnya staff nurse yang nak sambut baby datang. Dia ni macam kerek sikit. Tak tau la aku kalau suara dia memang macam tu. "Tak mau sedut dah!" Adik pelatih ambik gas dan bersedia di depan bersama staff nurse tadi. Aku ikut arahan terus kankang, tangan pegang buku lali. Datang je kontraksi aku terus teran. Tarik nafas panjang pastu aku teran lagi. 

Masa aku stop sekejap sebelum nak ambik nafas dengar suara stuff nurse macam kerek " teran la!". " Sat la!" aku melawan haha. Yang ok nya staff nurse ni selalu remind aku jangan angkat punggung. Bila dengar arahan dia automatik aku letak bontot. Adik pelatih dok suruh pandang perut aku bantai pejam mata. Janji aku teran dengan jayanya.

Tepat 9.05 malam meluncur baby keluar sekaligus terus melalak. Lega rasa azab dah habis. Nurse angkat baby tunjuk karipap tanya anak apa. "Perempuan, Alhamdulillah..". Pastu baby diletakkan atas dada aku. Aku cium baby banyak kali. Syukur sangat doa aku dimakbulkan. Aku pandang baby mata terkebil-kebil tengok aku. Aku cium lagi. Nurse suruh pegang kuat-kuat. Lama depa letak baby atas aku sampai siap keluarkan uri.

Bila baby dibawa keluar untuk dibersihkan tiba sesi menjahit. Aku tanya nurse banyak ke jahit. Dia kata sikit je. Koyak sendiri ni. Masa jahit memang ada rasa sakit tambah-tambah part yang last sekali. Tapi kira cepat jugak nurse ni jahit. Aku tahan je, dah lalui sakit nak bersalin lagi teruk kot. Yang paling penting aku dan baby dah selamat. 

Dah siap jahit doktor lelaki melayu yang ganas tu datang. Dalam hati aku kata masak la dia mai lagi, nak korek apa lagi ni? Luckily dia cuma check jahitan. Adik praktikal datang bagitau "ayah dia dah azankan dah". Aku tanya "baby berapa kilo?" "derang dok bersihkan kejap lagi timbang saya bagitau, rasanya lebih 3kg tu, tembam pipinya". 

Aku tak putus-putus ucapkan terima kasih kat adik pelatih. Say sorry jugak sebab aku dah hilang akal time sakit.kehkeh...


Afia 3hr after deliver. Memang tembam pun, 3.43 kg.




Photoshoot With Afia



Bukan senang nak buat sesi photoshoot dengan baby. Kena cepat snap picture. Lambat sangat nanti Afia bantai melalak. Belum sempat lagi shopping gaun segala. Headband je baru beli 3 bijik. Test la sebijik bagi Afia pakai.hiks..

Phototoshoot : Afia Imanina Day 22

Tomey
Serius
Blur
Akhirnya..

Smile



Tuesday, May 28, 2013

Menu Berpantang Selepas Bersalin



Rasanya makanan yang aku makan setiap hari agak membosankan. Afia pulak kuat menyusu, aku sekejap-sekejap lapar. Nak makan tapi pilihan makanan tak bervariasi. Asyik benda yang sama je aku paksa telan.

Orang pantang selalunya makan ikan gelama dan ikan tenggiri. Kata mak ikan kembung dengan cencaru boleh juga, tapi pastikan ikan fresh, kalau ikan lama tak boleh. So far setiap hari memang ikan tenggiri je la aku hadap. Ikan gelama lagi la tak sedap. Tawar dengan banyak tulang. 

Ikan tenggiri ni selalunya aku buat masak singgang rebus atau sup. Kalau malas sangat bakar je ikan tenggiri makan dengan nasi panas dan lada hitam tumbuk. Memang tak berkuah, tapi sedap apa.


Lunch semalam Sup ikan tenggiri

Setahu aku orang dalam pantang boleh makan sayur sawi dan kuchai. Aku tak makan kuchai, jadinya makan sawi sekali sekala. Hari-hari tak lalu pulak. Selain tu aku cuma makan buah sunkist dan kurma.

Seminggu berpantang habis setin biskut Jacobs Original aku kerjakan. Gila berselera aku dengan biskut tawar ni. Sarapan, minum petang, supper semua bantai makan biskut je. Sekarang dah dua tin dah licin. Gelojoh gak aku ekk.


En suami bila suruh belikan biskut orang berpantang beliau tanya aku balik biskut apa boleh makan. Bila aku kata beli je biskut yang tak berminyak, biskut ni je la yang di bawak balik, biskut kepala lutut

Makan je la cicah air milo.

Dalam pantang aku minum air milo, susu, horlicks, nestum dan oat. Air kopi pun orang pantang minum kan? tapi aku tak berapa suka. Cornflakes tu makan gak la. Memang tak sedap langsung menu berpantang aku. Tu pun kemain selera. Camno nak kurus balik?hehe..


*Tak BW lagi tapi gigih kan update. Semangat tengah membara. Harap maklum.huhu





Monday, May 27, 2013

Pengalaman Bersalinkan Afia Imanina Part 1



Ramai request aku share pengalaman bersalin kali kedua ni. Kena gak la abadikan coretan kelahiran Afia Imanina. Besar nanti biar dia tau camna senangnya nak keluarkan dia ke dunia. Terlalu cepat aku membuat ramalan yang melahirkan Afia adalah sangat mudah.huhu

Seminggu sebelum due aku dah selalu rasa kontraksi nak bersalin. Rasa perut mengeras kemudian benda ni hilang sendiri. Dah biasa kot dengan rasa sakit perut yang langsung tak mencabar. Ramai yang dah tau kalau aku masih tak bersalin, 3hb 5 aku akan dipaksa bersalin jugak. Mak dan adik ipar semua dah kalut suruh aku telan minyak selusuh. Minum air hujung rambut lepas mandi yang macam tak releven tu pun aku buat. Ikhtiar je apa yang ada.

1 hb 5 2013

Best jugak kalau beranak today. Satu Malaysia cuti sambut besday anak aku.haha. Berangan la. Macam gaya dah pujuk, baby tetap relex sedap sangat dok dalam perut. Sepanjang hari aku gigih mengemas rumah dan mop lantai segala. Sakit badan jangan cakap, konon nak aktif supaya baby cepat keluar. 

2 hb 5 2013

Awal pagi dalam pukul 12 lebih aku terasa nak kencing. Bangun pergi toilet rasa macam ada air meleleh kat celah paha. Buat derk je tak berapa konfiden air apa terus kencing dan sambung tidur. Dalam pukul 4 pagi terjaga lagi nak kencing. Masuk toilet sebelum kencing rasa konfiden ada air jernih mengalir celah peha. Mula dah syak yang air meleleh tu air ketuban.

Lepas kencing on netbook gigih google air ketuban bocor and so on. Seriau gak baca macam-macam story pasal air ketuban kering. Sebab air meleleh tak banyak cuba bawak bertenang, apa hal pun esok pagi baru bagitau en suami. Puas hati dah google aku pun sambung tidur balik.

Around 7 pagi aku bangun nak solat subuh. Subuh gajah la pukul 7 baru bangun.haha..Sebelum wuduk time aku kencing ada nampak darah. Kompem la malam tadi tu air ketuban. Kali ni turun tanda darah plak. Kecoh la en suami kejut Aiman suruh cepat mandi. Kelam kelibut ajak pergi hospital. Aku buat bodo je. Tak sakit langsung kot nak kalut p hospital.

Perut pun dah lapar aku request en suami belikan breakfast dulu. Pergi dapur basuh segala benda dekat singki pastu siap basuh baju kerja en suami lagi. Dalam kepala otak dah terbayang berapa banyak prosuder seluk dan sebagainya. Sebab takde rasa sakit langsung, aku masih melewatkan untuk ke hospital. Bukan sebab gerun ke apa, fantasi aku orang nak beranak ni senang je, bila betul-betul sakit baru pecut pergi hospital, sampai terus masuk labour room dan terus beranak. Sayang sekali habuan aku bukan macam tu.  

Mak abah dan adik ipar memang dah on da way nak datang rumah. Depa beberapa kali dah call suruh segera ke hospital. Lepas makan nasi lemak teringat tembikai yang aku beli dekat Tesco. Dengan rakusnya duduk bedal tembikai pulak depan peti ais. En suami geleng kepala je dan sengih, "makan la..nanti tak dapat dah.."  

Akhirnya sampai gak ke hospital lebih kurang pukul 10 pagi dengan tak berapa rela. Takut gak la kan kita tak tau camna keadaan baby kat dalam. Bagi je buku merah dan IC kat mak guard terus masuk LR. Prosuder biasa ambik detail, timbang, check bp dan air kencing. Muka nurse yang sama dan doktor lelaki india yang sama jugak masa aku warded jatuh hari tu. Lega sikit doktor India ni seluk hari tu tak sakit pun. 

Lepas buat ctg, doktor scan, baby ok, air ketuban pun ok. Tiba masa untuk seluk, doktor say sorry dan bagitau dah bukak 2cm.  Apesal la tak sakit, masa Aiman dulu 2 cm je dah sakit sampai nangis. Pastu doktor robek-robek sikit untuk membantu bukaan. Mungkin sebab aku cukup positif, takde la rasa sakit mana. Doktor pun sangat sopan santun.

Doktor kata aku kena dok wad dan tunggu sampai pukul 4 petang. Kalau time tu dah buka 3cm, terus turun LR, kalau still 2 cm jugak kena induce masuk ubat ikut bawah. Redha je la macam mana pun. Tapi memang berharap tak payah la masuk ubat. Aku tak berapa rela.

Nurse hantar masuk wad dah pukul 11 lebih. Makan tengahari pun takde coz aku dah masuk lewat. En suami pergi ambik beg bersalin dalam bonet kereta, dah la parking jauh, kesiankan beliau aku cakap takpela tak makan, nanti petang je. Lepas en suami dan Aiman balik, mati kutu aku keseorangan di wad melayan sakit yang langsung tak mencabar. 

Sempat gak la aku baca Yasin sedas. Tak lama lepas tu datang seorang doktor tanya benda yang sama, bila turun tanda so on. Pastu datang lagi doktor perempuan kecik molek. "Ada GDM ni saya paksa terus bersalin hari ni". Kemain yakin doktor tu kata tak peduli dah aku bagitau kena tunggu pukul 4. Aku ok je. Dah tak sabar kot nak tengok muka baby. 

Sebelum doktor nak masuk ubat, nurse datang buat ctg. Baby bantai tido je. Nurse pun tak tau nak buat apa. Kejut pun dia buat derk. Sorang nurse tanya dah makan belum?Patut la baby tak aktif, aku belum makan kata nurse. Baik hati nurse ni pergi ambil roti dan air kopi. Siap amikkan straw letak dekat aku. Aku belasah roti kosong sampai habis dah rupa orang kebulur. IkhLasnya memang tengah kelaparan. Dari tadi dok teguk air zamzam dan mineral water je.

Bila ctg dah ok, nurse suruh kemas barang-barang tukar wad. Kat sana doktor dah tunggu nak masukkan ubat. Ikutkan je la. Sampai sana memang doktor dah tunggu. Doktor kecik molek tadi seluk pastu robek-robek lagi. Kali ni pun tak sakit mana. Agaknya aku memang dah bersedia untuk dirobek.hehe. Doktor tu kata dah bukak 3cm, tak payah masuk ubat, boleh turun LR sekarang. Happy sangat siap buat lompat bintang.

Nurse suruh sediakan barang baby, pad dan bagitau en suami. Pastu nurse tanya dah makan belum?" Dah makan roti tadi", ikhlas aku jawab. "Dah mandi?". "Belum, saya mandi dulu ye.." sopan je aku jawab. Pastu nurse kata nak tukar wad? Saya tengok ada GL. Aku jawab, "boleh". "Lepas bersalin kita tukar wad" Ok aku menurut perintah. Dalam hati kata berapa banyak tukar daa..

Tadi sebelum mandi dah call en suami. Sekali lagi call en suami tak angkat, mesej je bagitau nak turun LR dah. Sebelum turun aku sempat telan satu sudu minyak selusuh, makan kurma dan habiskan air zam-zam. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. 

Letih dah menaip. Ayat pun kelam kelibut. Harap korang faham. Nanti sambung part 2 detik cemas di labour room. 

Part 2 di SINI






Gaya Afia Imanina Tidur



Setiap baby adalah comel! Sebab comel sangat everyday mesti nak capture gambar Afia even dia tengah tidur. Siang malam kira nak seksi je anak dara ni, langsung tak nak berbedung. Besaq nanti  kalau pengkaq jangan salahkan ibu ok!hikhik

Day 2
Day 3
Day 4
Day 5 
Day 6
Day 7
Day 8

Yang last tu tak menahan. Kalau boleh cakap mesti Afia kata, "Letih la dengan ibu ni!"





Sunday, May 26, 2013

Tempoh Pemulihan Selepas Bersalin



Proses mengandung menyebabkan banyak perubahan pada tubuh badan. Selepas bersalin badan pastinya memerlukan masa untuk pulih seperti sediakala. Aku cuma nak berkongsi serba sedikit tanda tubuh badan yang kerap menjadi perhatian semasa tempoh pemulihan selepas bersalin. Lupa la jumpa benda ni kat mana, ada dalam draft, aku tinggal edit je.hehe

Rahim

Rahim akan mengambil masa 6 minggu untuk kembali ke bentuk asal. Saiz rahim sebenar adalah sebesar telur “double A” sahaja.

Bengkak

Bengkak kaki dan badan mengambil masa 4-6 minggu untuk hilang sepenuhnya. Sepanjang sepuluh hari lepas bersalin nurse akan datang rumah dan salah satunya benda wajib adalah check tahap bengkak kaki aku. Adalah normal untuk tubuh menjadi lebih bengkak dalan tempoh 1 hingga 2 minggu, asalkan tiada masalah darah tinggi. Pada waktu ini badan akan mengalami kekurangan air kerana mengalami dieresis. Oleh itu, minum air yang mencukupi. Ini sangat penting untuk memastikan aliran susu badan yang banyak dan mengurangkan risiko sembelit.

Pendarahan faraj

Pendarahan faraj atau nifas mengambil masa 4-8 minggu untuk berhenti sepenuhnya. Sekiranya ia berhenti selepas 3 minggu bersalin dan datang kembali selepas beberapa hari, ia juga adalah normal. Darah yang keluar itu akan bermula dengan warna merah sebelum ia akan beransur-ansur menjadi warna coklat dan seterusnya coklat muda.

Luka Episiotomi


Kali ni terkoyak sendiri. Anak sulung je kena unting kan. Nasiblah tak banyak jahitannya. Luka ini akan mengambil masa 1 hingga 2 minggu untuk pulih daripada sakit dan 4 hingga 6 minggu untuk pulih sepenuhnya. Pastikan ia bersih dan sentiasa kering untuk memastikan ia lebih cepat sembuh. Aku amalkan rendam asam keping dalam air panas kemudian basuh tempat luka bila air dah suam. Kadang-kadang campur dengan daun sirih.

Luka Pembedahan Cesarean

Pembedahan ini akan mengambil masa 4 minggu untuk pulih daripada sakit dan 8 minggu untuk pulih sepenuhnya. Berjumpalah dengan doktor sekiranya tempoh pemulihan memakan masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

Stretch Mark dan warna kehitaman pada kulit


Ini paling tension. Dah la pregnant kali ni kulit jadi hitam. Naik meluat aku tengok kulit sendiri.haha..Benda ni mengambil masa 6 bulan sehingga 1 tahun untuk hilang sepenuhnya. Strech mark selalunya dari kemerahan ia akan menjadi parut putih yang pudar. Mereka yang berkulit gelap mungkin akan mengambil masa yang lebih lama.

Kebas Tangan (Carpal Tunnel Syndrome) 


Selalunya hilang dengan sendiri selepas 6 minggu bersalin. Carpal tunnel syndrome terjadi disebabkan tekanan pada urat saraf pada pergelangan tangan yang kerap terjadi disebabkan kehamilan. Kalau tangan masih kebas dan sakit selepas tempoh tersebut, eloklah berjumpa pakar untuk rawatan seterusnya.

Buasir

Buasir atau hemorrhoid mengambil masa 4-6 minggu untuk pulih sepenuhnya. Ni pun tension jugak. Masa pregnant aku kena gak sikit. Lepas bersalin normal la kena sembelit. Mujur tak teruk sebab dua tiga hari dah ok. Bagi pengidap buasir kronik, ia mungkin akan kekal selagi tiada pembedahan dilakukan. Jumpa dengan doktor pakar sekiranya buasir masih tidak hilang walau setelah beberapa bulan bersalin.

Berat badan

Kenaikan berat badan semasa hamil kebanyakannya disebabkan oleh berlebihan bendalir tubuh dan juga tumbesaran rahim serta bayi. Kenaikan berat badan yang optimal adalah dalam lingkungan 10-15 kilogram selama sembilan bulan hamil. Aku naik sampai 20kg kot. Kebanyakan dari pertambahan berat ini akan hilang dalam tempoh 2-3 bulan selepas bersalin. Sekiranya kelihatan masih berisi selepas 6 bulan bersalin, ia mungkin disebabkan mengalami kenaikan yang keterlaluan semasa hamil.

Perut buncit dan berkedut

Badan memerlukan 6 bulan hingga 1 tahun untuk kembali langsing tetapi bergantung kepada cara pemakanan semasa pantang dan cara senaman yang dipraktikkan. Semingu pantang gila selera aku makan. Macam mana nak kurus?haha..Sejak dua menjak ni je jadi kurang selera. 


Buat senaman perut 3 hingga 4 kali seminggu semasa pantang.  Kita mungkin akan langsing dalam masa yang lebih singkat. Aku ni lepas makan terus baring senam perut apanya. Bagi mereka yang menjalani pembedahan Cesarean, ia mungkin akan mengambil masa yang lebih lama disebabkan lemak kebal yang terbentuk pada sekitar parut cesarean.


Tu je kot nak share. 




Wednesday, May 22, 2013

Hadiah Istimewa Buat Isteri



Bukan senang nak terima hadiah dari en suami. Hadiah dari sudut material aku maksudkan. Kalau hadiah kasih sayang tu hari-hari dapat.haha.. Dalam saat genting masa di hospital tempohari en suami hantar mesej kata ada supsrised untuk aku. Dok kalut nak beranak tak fikir teruja kejutan ni semua.

Lepas je bersalin, masa nurse tolak nak masuk wad tetiba je en suami datang dengan senyuman. Tak menyabar keluarkan hadiah istimewa buat isteri.



Sony DSC-W710. Murah je. Pink lagi. Jambu sangat bini beliau.haha..

Sony ni brandnya macam semua sedia maklum takkan nak lancarkan benda murahan yang tak berkualiti. Cuma ada sikit lece kamera ni takde penstabil gambar. Makanya untuk dapatkan hasil foto yang cantik, tangan kena la bedung, tak boleh goyang-goyang inul ok. 

Dah bertahun kot kamera rosak. Tapi laki bini kemain kemut nak kelurkan duit beli kamera baru. Update blog pun pakai gambar webcam ja. Ada kamera ni senang la sikit nak abadikan foto kenangan apatah lagi dengan kehadiran puteri cantik dalam famili kami. 







Tuesday, May 14, 2013

Bila Abang Ada Adik



Masa adik dalam perut kemain abang sayang adik. Hari-hari kiss, bila baby deliver lain pulak ceritanya. 

Abah Aiman suka sangat usik, "cepat kemas baju-baju Aiman masuk beg, abah nak p hantaq rumah anak yatim.." Lawak memang lawak tapi lama-lama aku naik risau tengok Aiman tak peduli  langsung ke adik. Pastu aku warning en suami jangan semarakkan kebencian Aiman pada adik. En suami bukan makan saman, memang jenis kuat menyakat.

Hari pertama dan kedua balik dari hospital suruh kiss adik pun tak nak. Kata Aiman pada Maktok, "baby tu memang comel, tapi baby tu kotor" (merujuk kepada ruam dan kulit merah-merah Afia). Agaknya masa dekat hospital, sejuk je kena aircond, balik rumah bila panas sensitif pulak kulit si Afia ni. Bila sapu bedak sejuk baru ok.

Paling kelakar malam tu kawan baik aku call,dok sembang la dalam telefon. Afia tengah tidur, Aiman tengah main PS. Tetiba Afia melalak terus aku letak telefon pastu terpa Afia sambil memujuk, "ala sayang-sayang.."

Mata masih galak menghadap game, selamba je Aiman bersuara diiringi ketawa besar dari Maktok. "Sayang sangat la dia tu..kat Aiman ni dah tak sayang ke?"

Pada Maktok pun Aiman kata, "Maktok ni dah tak nak tengok Aiman ke?Asyik tengok baby je.."




Mula-mula pandai jugak Aiman cemburu dengan adik. Sekarang Aiman dah selalu dekat dengan Afia, kemain sayang dengan adik dia. Semoga Aiman akan terus menjadi abang yang baik dan sentiasa melindungi adik.





Friday, May 10, 2013

Alkisah Afia Cukur Rambut



Dua hari lepas hari terakhir mengurut, Afia cukur rambut sekali. Mak bidan yang sama masa aku merasa perut dulu yang botakkan kepala Afia. Alhamdulillah sepanjang sesi cukur rambut, mandikan hingga siap semua Afia behave sangat. Sama mcam abang Aiman dulu. Afia bantai tido je. Lebat dan banyak rambut si kecik ni Mak Bidan kata.


Sehari sebelum dibotakkan kemain lagi Acu Afia buat photoshoot.

Selesa badak Afia tido selepas dibotakkan.








Thursday, May 09, 2013

Adik Aiman Dah Ada Nama!



Assalamualaikum. Terima kasih buat semua yang wish Tahniah.  Banyak benda nak cerita tapi masih tak dapat nak berlama ngadap blog. BW pun belum sempat.

Perihal mencari nama baby ni jadi sikit kelam kabut. Seriously pening gila nak cari nama. Dari pregnant sampai deliver masih takde yang sesuai. Sapa suruh tak sedia nama dari awal. Padan la muka aku penat menjawab bila setiap masa ada yang bertanya tentang nama baby. Hari ni hari ketujuh sesuai la beri nama.

Tayang sikit senyuman cucu puteri pertama dalam keluarga. Anugerah terindah yang melengkapkan kehidupan kami.


Afia Imanina - Kekuatan Iman Kami






Sunday, May 05, 2013

Buat Yang Menunggu Adik Aiman



Selamat Mengundi,update laju-laju. Alhamdulillah selamat semua. Terima kasih buat semua sahabat blogger yang mendoakan. Semoga dipermudahkan juga sepanjang dalam pantang. 





Adik Aiman - Born 02.05.2013, 9.05pm, Girl 3.43 kg






Wednesday, May 01, 2013

Doa Aiman Dimakbulkan



Selamat Hari Pekerja dan Selamat Bercuti. 

Alkisah semalam aku dan en suami dating berdua. Aiman tak bawak la sebab sekolah. Tapi ada suprised untuk Aiman. Selalu dah beli buku, sesekali layan la permintaan si chubby. Hadiah kecik je sebab dah graduate kan. Hadiah besar kita pending dulu. 



Kata en suami, Allah dah makbulkan doa Aiman.hehe..CD game transformers as request. CD Power Rangers tukar dengan Kamen Rider, budak jual CD tu kata budak-budak suka game ni.


Ada kejutan kedua untuk Aiman. Balik shopping ngam-ngam time Aiman balik dari sekolah. Apalagi bila dapat je terus la kiss pipi ibu abah dan ucapkan terima kasih.



Kebetulan lalu dekat bahagian clearance ternampak Batman ni. Beli pun sebab setengah dari harga asal. Berkenan tengok, ada topeng, perisai dan arrow yang boleh main tembak.  Ibu dengan abah yang over. Macam biasa la kecik-kecik dulu tak dapat.haha..