Pixajoy

Wednesday, May 29, 2013

Pengalaman Bersalinkan Afia Imanina Part 2


Part 1 dekat SINI


Aku turun LR around 4pm. Serius tak ingat bilik no berapa. Tak sempat fikir nak ambik detail pasal ni semua. Masuk je nurse mintak buangkan kain pastu terbalikkan baju hospital, butang ikut belakang. Aku terus baring bersedia dilakukan apa saja. Firstly memang kena seluk la. Baru je kot tadi doktor seluk. Still 3cm.

Baring la kt LR menunggu. Time ni memang tak sakit. Bukan maksud takde kontraksi langsung, bagi aku memang tak sakit la. Rasa sakit perut yang terlalu biasa. Nurse keluar masuk pantau aku. Seorang doktor lelaki melayu pun asyik keluar masuk depan pintu. Mula-mula aku ingat sapa la dia ni, pakai kemeja biasa je takde gaya doktor pun.

Lepas ni aku memang dah lupa pasal jam semua. Aku belasah je cerita. Gila kot nak bawak buku nota catat segala detail dalam keadaan genting macam ni. Tau la blogger.hakhak..Tak lama lepas tu datang seorang nurse pelatih, comel orangnya. Muka banyak senyum. Dia check bp dan ajak sembang. Sebab tak sakit kemain galak aku tanya macam-macam kat adik ni. 

Datang pulak seorang doktor melayu perempuan. Nampak macam doktor baru. Tengok gaya lemah lembut. Doktor ni seluk dah 4cm kemudian dia pecahkan air ketuban. Agak terlebih waspada doktor ni buat kerja. Siap cakap saya tak berapa nak cekap, takut kena kepala baby. Dua tiga kali dia buat aku terasa air suam mengalir keluar. Lepas pecahkan air ketuban memang dok menunggu je la jalan buka.

Buka 4cm pun aku masih sakit biasa-biasa. Lama menunggu, doktor yang pecahkan ketuban tadi datang cucuk kat tangan. Aku tanya dekat adik pelatih tu apa benda ni. Dia terangkan depa nak masukkan air dan ubat. Apa yang aku jangka memang sah la. Aku kena induce drip. Nak lari dari induce masuk ubat bawah la konon. Padan muka! 

Bila dah start induce, kontraksi pun mula dengan jayanya. Aku yang tadi dok sengih-sengih dah mula rasa sakit yang cukup mencabar. Makin lama makin sakit. Mulut tak berhenti dok baca doa nabi Yunus. Ternyata aku terlalu awal membuat ramalan yang bersalin kali ni tak sakit mana. Nurse datang cucuk kat belakang, katanya ubat tahan sakit. Aku tanya adik pelatih tu "epidural ke?" Dia kata ya. Aku tak request pun depa bagi.

Doktor lelaki melayu tadi pulak datang seluk. Kali ni aku rasa macam dia cukup ganas berbanding doktor-doktor yang sebelumnya. Dah la main seluk je tak say sorry or keluarkan bagai sepatah perkataan. Macam takde etika sikit. Ceh kemain aku komen doktor. Dia robek-robek lagi ada la sakit sikit tapi aku tahan je. Aku agak dengan rasa sakit yang sedang aku alami bukaan mesti around 6cm or 7cm. Yang amat mendukacitakan bukaan still 4cm. 

Agaknya time ni la en suami, mak dan Aiman dok tunggu kat luar LR. En suami tanya nurse kata baru 4cm. Sebab dah lama menunggu en suami balik hantar mak dan Aiman. Lepas solat maghrib dan Isyak baru datang hospital. Sampai je aku dah selamat bersalin. So bersalin kali ni en suami tak temankan ok!

Entah kenapa aku tiba-tiba rasa kecewa yang amat sangat. Ditambah perasaan nak marah doktor ganas yang seluk tadi aku nangis tak henti-henti. Automatik kot sedih gaya macam baru mati laki. Bukan nangis sebab sakit, tapi kecewa kenapa bukaan masih 4cm? Walaupun nangis aku tak berbunyi, mata aku pejam, air mata berderai tak henti-henti.

Staff nurse datang bagi oksigen letak dekat mulut. Katanya oksigen untuk baby. Tak pasti aku apa fungsinya. Adik pelatih dok kata ctg tak cantik. Baby bantai tido lagi dalam keadaan macam ni. Kuat tido sungguh macam ibu dia. Adik pelatih tu dok goyang-goyang perut kejut baby buat derk. Ni la musibahnya time pregnant aku kuat tido. Nak gelak pun ada tapi aku maintain nangis keluar air mata, sedih belum habis.hakhak

Sebab baby dok tido, depa stopkan sekejap ubat drip. Doktor perempuan yang pecahkan ketuban tadi datang. Dia tengok aku nangis dia pegang aku gaya pujuk "eh kenapa ni? tak mau sedih-sedih, kami buat bagi selamat semua, jangan risau.." Gaya ayat dengan kata penuh syahdu dia buatkan aku makin sedih. Bercucuran lagi air mata buat kesekian kalinya. Kali ni lebih hebat. Siap ada sikit effect bunyi sedu sedan.hoho

Lama aku nangis pastu datang balik kekuatan. Awat la aku lembik sangat. Semangat aku yang hilang tadi tiba-tiba datang balik. Adik pelatih tanya "kak nak minum?" Aku memang dahaga, kering gila tekak mulut dok terkumat kamit baca doa dah berapa jam. Tapi aku cakap, "takpe dik, nanti nak terkencing pulak."

Staff nurse tanya adik pelatih dengan perkataan medic apa benda. Rupanya dia suruh keluarkan air kencing. Menyesal tak sudah aku tolak air tadi. Kalau tau depa nak masuk tiup keluarkan air kencing baik aku minum. Ada rasa pedih sikit masa nak masukkan tiup air kencing. Tu dia selambak air kencing adik pelatih keluarkan. Katanya "dah nampak kepala baby dah kak. Tak lama dah ni". Lama tak lama dari pukul 4 sampai pukul 8 dah 4jam kot aku kat LR. Adik pelatih kata bukaan rasanya dah 6-7cm. Kadang-kadang air kencing banyak boleh gak menghalang kepala baby turun. 

Sakit memang sakit. Masa bersalinkan Aiman dulu tak sakit macam ni.  Adik pelatih bagi gas suruh sedut pun haram tak membantu. Sebab sakit sangat aku sedut je la. Ada rasa mamai sikit-sikit tapi bila kontraksi datang, aku sedut macam mana pun memang tak membantu langsung. Epidural tadi tak cucuk pun takpe kot. Tak membantu jugak. Sakitnya ya Rabbi je tau.

Aku mengiring ke kiri pun tak mengurangkan walau sikit rasa sakit. Adik pelatih tolong urut belakang tak membantu jugak. Dia dok ajak sembang. Dalam keadaan sakit aku layan gak sembang. Sambil tu mulut terkumat kamit lagi baca doa. Makin lama makin sakit. Aku dah tak dapat tahan. Aku dah mengerang kesakitan. Dah cuba tak nak keluarkan suara tapi sakit tak menahan. Dah gaya orang hilang akal sebab sakit sangat.

Nak bagitau betapa sakit, dua perenggan aku ulang pasal sakit.haha.."dah tak tahan nak teran ni.." Adik pelatih suruh kankang, dia check "tapi belum full lagi ni..". Gila la belum full aku sakit nak mampus dah. Yang ni dialog dalam hati je la. Gas dok sedut lagi walau tak membantu. Kan aku kata dah rupa orang hilang akal, benda yang takde fungsi pun aku bantai sedut.

Akhirnya staff nurse yang nak sambut baby datang. Dia ni macam kerek sikit. Tak tau la aku kalau suara dia memang macam tu. "Tak mau sedut dah!" Adik pelatih ambik gas dan bersedia di depan bersama staff nurse tadi. Aku ikut arahan terus kankang, tangan pegang buku lali. Datang je kontraksi aku terus teran. Tarik nafas panjang pastu aku teran lagi. 

Masa aku stop sekejap sebelum nak ambik nafas dengar suara stuff nurse macam kerek " teran la!". " Sat la!" aku melawan haha. Yang ok nya staff nurse ni selalu remind aku jangan angkat punggung. Bila dengar arahan dia automatik aku letak bontot. Adik pelatih dok suruh pandang perut aku bantai pejam mata. Janji aku teran dengan jayanya.

Tepat 9.05 malam meluncur baby keluar sekaligus terus melalak. Lega rasa azab dah habis. Nurse angkat baby tunjuk karipap tanya anak apa. "Perempuan, Alhamdulillah..". Pastu baby diletakkan atas dada aku. Aku cium baby banyak kali. Syukur sangat doa aku dimakbulkan. Aku pandang baby mata terkebil-kebil tengok aku. Aku cium lagi. Nurse suruh pegang kuat-kuat. Lama depa letak baby atas aku sampai siap keluarkan uri.

Bila baby dibawa keluar untuk dibersihkan tiba sesi menjahit. Aku tanya nurse banyak ke jahit. Dia kata sikit je. Koyak sendiri ni. Masa jahit memang ada rasa sakit tambah-tambah part yang last sekali. Tapi kira cepat jugak nurse ni jahit. Aku tahan je, dah lalui sakit nak bersalin lagi teruk kot. Yang paling penting aku dan baby dah selamat. 

Dah siap jahit doktor lelaki melayu yang ganas tu datang. Dalam hati aku kata masak la dia mai lagi, nak korek apa lagi ni? Luckily dia cuma check jahitan. Adik praktikal datang bagitau "ayah dia dah azankan dah". Aku tanya "baby berapa kilo?" "derang dok bersihkan kejap lagi timbang saya bagitau, rasanya lebih 3kg tu, tembam pipinya". 

Aku tak putus-putus ucapkan terima kasih kat adik pelatih. Say sorry jugak sebab aku dah hilang akal time sakit.kehkeh...


Afia 3hr after deliver. Memang tembam pun, 3.43 kg.




Photoshoot With Afia



Bukan senang nak buat sesi photoshoot dengan baby. Kena cepat snap picture. Lambat sangat nanti Afia bantai melalak. Belum sempat lagi shopping gaun segala. Headband je baru beli 3 bijik. Test la sebijik bagi Afia pakai.hiks..

Phototoshoot : Afia Imanina Day 22

Tomey
Serius
Blur
Akhirnya..

Smile



Tuesday, May 28, 2013

Menu Berpantang Selepas Bersalin



Rasanya makanan yang aku makan setiap hari agak membosankan. Afia pulak kuat menyusu, aku sekejap-sekejap lapar. Nak makan tapi pilihan makanan tak bervariasi. Asyik benda yang sama je aku paksa telan.

Orang pantang selalunya makan ikan gelama dan ikan tenggiri. Kata mak ikan kembung dengan cencaru boleh juga, tapi pastikan ikan fresh, kalau ikan lama tak boleh. So far setiap hari memang ikan tenggiri je la aku hadap. Ikan gelama lagi la tak sedap. Tawar dengan banyak tulang. 

Ikan tenggiri ni selalunya aku buat masak singgang rebus atau sup. Kalau malas sangat bakar je ikan tenggiri makan dengan nasi panas dan lada hitam tumbuk. Memang tak berkuah, tapi sedap apa.


Lunch semalam Sup ikan tenggiri

Setahu aku orang dalam pantang boleh makan sayur sawi dan kuchai. Aku tak makan kuchai, jadinya makan sawi sekali sekala. Hari-hari tak lalu pulak. Selain tu aku cuma makan buah sunkist dan kurma.

Seminggu berpantang habis setin biskut Jacobs Original aku kerjakan. Gila berselera aku dengan biskut tawar ni. Sarapan, minum petang, supper semua bantai makan biskut je. Sekarang dah dua tin dah licin. Gelojoh gak aku ekk.


En suami bila suruh belikan biskut orang berpantang beliau tanya aku balik biskut apa boleh makan. Bila aku kata beli je biskut yang tak berminyak, biskut ni je la yang di bawak balik, biskut kepala lutut

Makan je la cicah air milo.

Dalam pantang aku minum air milo, susu, horlicks, nestum dan oat. Air kopi pun orang pantang minum kan? tapi aku tak berapa suka. Cornflakes tu makan gak la. Memang tak sedap langsung menu berpantang aku. Tu pun kemain selera. Camno nak kurus balik?hehe..


*Tak BW lagi tapi gigih kan update. Semangat tengah membara. Harap maklum.huhu





Monday, May 27, 2013

Pengalaman Bersalinkan Afia Imanina Part 1



Ramai request aku share pengalaman bersalin kali kedua ni. Kena gak la abadikan coretan kelahiran Afia Imanina. Besar nanti biar dia tau camna senangnya nak keluarkan dia ke dunia. Terlalu cepat aku membuat ramalan yang melahirkan Afia adalah sangat mudah.huhu

Seminggu sebelum due aku dah selalu rasa kontraksi nak bersalin. Rasa perut mengeras kemudian benda ni hilang sendiri. Dah biasa kot dengan rasa sakit perut yang langsung tak mencabar. Ramai yang dah tau kalau aku masih tak bersalin, 3hb 5 aku akan dipaksa bersalin jugak. Mak dan adik ipar semua dah kalut suruh aku telan minyak selusuh. Minum air hujung rambut lepas mandi yang macam tak releven tu pun aku buat. Ikhtiar je apa yang ada.

1 hb 5 2013

Best jugak kalau beranak today. Satu Malaysia cuti sambut besday anak aku.haha. Berangan la. Macam gaya dah pujuk, baby tetap relex sedap sangat dok dalam perut. Sepanjang hari aku gigih mengemas rumah dan mop lantai segala. Sakit badan jangan cakap, konon nak aktif supaya baby cepat keluar. 

2 hb 5 2013

Awal pagi dalam pukul 12 lebih aku terasa nak kencing. Bangun pergi toilet rasa macam ada air meleleh kat celah paha. Buat derk je tak berapa konfiden air apa terus kencing dan sambung tidur. Dalam pukul 4 pagi terjaga lagi nak kencing. Masuk toilet sebelum kencing rasa konfiden ada air jernih mengalir celah peha. Mula dah syak yang air meleleh tu air ketuban.

Lepas kencing on netbook gigih google air ketuban bocor and so on. Seriau gak baca macam-macam story pasal air ketuban kering. Sebab air meleleh tak banyak cuba bawak bertenang, apa hal pun esok pagi baru bagitau en suami. Puas hati dah google aku pun sambung tidur balik.

Around 7 pagi aku bangun nak solat subuh. Subuh gajah la pukul 7 baru bangun.haha..Sebelum wuduk time aku kencing ada nampak darah. Kompem la malam tadi tu air ketuban. Kali ni turun tanda darah plak. Kecoh la en suami kejut Aiman suruh cepat mandi. Kelam kelibut ajak pergi hospital. Aku buat bodo je. Tak sakit langsung kot nak kalut p hospital.

Perut pun dah lapar aku request en suami belikan breakfast dulu. Pergi dapur basuh segala benda dekat singki pastu siap basuh baju kerja en suami lagi. Dalam kepala otak dah terbayang berapa banyak prosuder seluk dan sebagainya. Sebab takde rasa sakit langsung, aku masih melewatkan untuk ke hospital. Bukan sebab gerun ke apa, fantasi aku orang nak beranak ni senang je, bila betul-betul sakit baru pecut pergi hospital, sampai terus masuk labour room dan terus beranak. Sayang sekali habuan aku bukan macam tu.  

Mak abah dan adik ipar memang dah on da way nak datang rumah. Depa beberapa kali dah call suruh segera ke hospital. Lepas makan nasi lemak teringat tembikai yang aku beli dekat Tesco. Dengan rakusnya duduk bedal tembikai pulak depan peti ais. En suami geleng kepala je dan sengih, "makan la..nanti tak dapat dah.."  

Akhirnya sampai gak ke hospital lebih kurang pukul 10 pagi dengan tak berapa rela. Takut gak la kan kita tak tau camna keadaan baby kat dalam. Bagi je buku merah dan IC kat mak guard terus masuk LR. Prosuder biasa ambik detail, timbang, check bp dan air kencing. Muka nurse yang sama dan doktor lelaki india yang sama jugak masa aku warded jatuh hari tu. Lega sikit doktor India ni seluk hari tu tak sakit pun. 

Lepas buat ctg, doktor scan, baby ok, air ketuban pun ok. Tiba masa untuk seluk, doktor say sorry dan bagitau dah bukak 2cm.  Apesal la tak sakit, masa Aiman dulu 2 cm je dah sakit sampai nangis. Pastu doktor robek-robek sikit untuk membantu bukaan. Mungkin sebab aku cukup positif, takde la rasa sakit mana. Doktor pun sangat sopan santun.

Doktor kata aku kena dok wad dan tunggu sampai pukul 4 petang. Kalau time tu dah buka 3cm, terus turun LR, kalau still 2 cm jugak kena induce masuk ubat ikut bawah. Redha je la macam mana pun. Tapi memang berharap tak payah la masuk ubat. Aku tak berapa rela.

Nurse hantar masuk wad dah pukul 11 lebih. Makan tengahari pun takde coz aku dah masuk lewat. En suami pergi ambik beg bersalin dalam bonet kereta, dah la parking jauh, kesiankan beliau aku cakap takpela tak makan, nanti petang je. Lepas en suami dan Aiman balik, mati kutu aku keseorangan di wad melayan sakit yang langsung tak mencabar. 

Sempat gak la aku baca Yasin sedas. Tak lama lepas tu datang seorang doktor tanya benda yang sama, bila turun tanda so on. Pastu datang lagi doktor perempuan kecik molek. "Ada GDM ni saya paksa terus bersalin hari ni". Kemain yakin doktor tu kata tak peduli dah aku bagitau kena tunggu pukul 4. Aku ok je. Dah tak sabar kot nak tengok muka baby. 

Sebelum doktor nak masuk ubat, nurse datang buat ctg. Baby bantai tido je. Nurse pun tak tau nak buat apa. Kejut pun dia buat derk. Sorang nurse tanya dah makan belum?Patut la baby tak aktif, aku belum makan kata nurse. Baik hati nurse ni pergi ambil roti dan air kopi. Siap amikkan straw letak dekat aku. Aku belasah roti kosong sampai habis dah rupa orang kebulur. IkhLasnya memang tengah kelaparan. Dari tadi dok teguk air zamzam dan mineral water je.

Bila ctg dah ok, nurse suruh kemas barang-barang tukar wad. Kat sana doktor dah tunggu nak masukkan ubat. Ikutkan je la. Sampai sana memang doktor dah tunggu. Doktor kecik molek tadi seluk pastu robek-robek lagi. Kali ni pun tak sakit mana. Agaknya aku memang dah bersedia untuk dirobek.hehe. Doktor tu kata dah bukak 3cm, tak payah masuk ubat, boleh turun LR sekarang. Happy sangat siap buat lompat bintang.

Nurse suruh sediakan barang baby, pad dan bagitau en suami. Pastu nurse tanya dah makan belum?" Dah makan roti tadi", ikhlas aku jawab. "Dah mandi?". "Belum, saya mandi dulu ye.." sopan je aku jawab. Pastu nurse kata nak tukar wad? Saya tengok ada GL. Aku jawab, "boleh". "Lepas bersalin kita tukar wad" Ok aku menurut perintah. Dalam hati kata berapa banyak tukar daa..

Tadi sebelum mandi dah call en suami. Sekali lagi call en suami tak angkat, mesej je bagitau nak turun LR dah. Sebelum turun aku sempat telan satu sudu minyak selusuh, makan kurma dan habiskan air zam-zam. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. 

Letih dah menaip. Ayat pun kelam kelibut. Harap korang faham. Nanti sambung part 2 detik cemas di labour room. 

Part 2 di SINI