Pixajoy

Sunday, January 08, 2012

Mum Or Dad?



Bila tanya Aiman, 


"Aiman suka ibu ke abah?"


"Aiman suka ibu.."


"Kenapa Aiman suka ibu?"


"Sebab ibu comel." 


Tolong jangan perli ibulah Aiman.haha..Geram aku tengok budak ni..Comel gila. Aiman pun suka tengok. Jom layan..






                                               


Tips Mendidik Anak Mengenai Wang


Seingat aku, sejak kecil aku memang pemboros orangnya. Sampai aku kerja, aku ni jenis yang tak pernah lekat duit dekat tangan. Aku sangat lemah kalau bab menabung. Selepas melalui frasa perkahwinan, aku mula sedar akan kepentingan menabung dan nilai wang itu sendiri. Aku tak mahu anak aku ikut perangai buruk aku waktu kecik.haha.. Sebagai ibu bapa kita sepatutnya menunjukkan contoh yang baik pada anak. Aku sendiri kurang arif bagaimana caranya hendak mendidik anak tentang kewangan. 


Bilakah masa yang sesuai untuk mendidik anak mengenai wang? Melalui artikel yang aku baca, tidak ada jangka masa tertentu tetapi eloklah dimulakan seawal yang boleh. Mendidik, menggalakkan dan memberi kepercayaan kepada anak untuk bijak berbelanja sejak kecil akan menanamkan tabiat kewangan yang baik. 


Berikan Anak Wang Saku


Ini membantu membina keupayaan anak merancang perbelanjaan. Untuk memutuskan berapa yang perlu diberi kepada anak, fikir dengan teliti jenis perbelanjaan yang boleh digunakan untuk wang saku itu. Misalnya bagi belanja sekolah, elok kita pergi tinjau harga makanan yang dijual di kantin sekolah. Kalau perlu, beri wang saku dalam beberapa pecahan wang bagi menggalakkan anak menabung. Contohnya RM2, beri wang kertas RM1 dan selebihnya dalam bentuk wang syiling supaya anak boleh mengasingkan beberapa keping wang syiling untuk dimasukkan kedalam tabung.


Tentukan Matlamat Yang Realistik


Berbincang dengan anak mengenai matlamat tabungan dan matlamat itu mestilah realistik. Anak mungkin mahukan sejenis permainan yang istimewa, buku, basikal dan sebagainya. Galakkan mereka untuk menabung. Kemudian tinjau kos barang yang hendak dibeli dan congak berapa banyak anak perlu menabung setiap minggu bagi membeli barangan tersebut dalam satu jangka masa yang munasabah. 


Anak yang lebih besar boleh menyimpan rekod simpanan dalam buku nota dan buat pengiraan setiap minggu. Bagi anak yang masih kecil, alat pandang dengar boleh membantu. Gunting gambar yang diperlukan dan lekatkan pada sebuah balang. Sambil anak memasukkan wang kedalam balang setiap hari, dia oleh tengok wangnya semakin bertambah dan tidak lama lagi bolehlah dia mencapai matlamatnya.


Didik Anak Mengenai Nilai pelaburan


Laburkan sebahagian daripada wang simpanan anak dalam dana amanah dan ajak dia sama-sama melihat perkembangan pelaburan itu. Jangan halang hak anak untuk mengeluarkan sedikit wang jika dia hendak membeli sesuatu kerana jika kita menghalang, ini mungkin akan melemahkan minat anak untuk menabung. Kita hanya perlu memberitahu anak bahawa jika wang simpanan dikeluarkan sebelum matlamat tercapai, maka lebih lamalah masa yang akan diambil untuk mencapai matlamatnya. Didik mereka memahami kesan mengeluarkan wang itu pada masa tersebut.


Izinkan anak mengatur sendiri perbelanjaan mereka.


Belajar berbelanja secara bijak membabitkan beberapa percubaan dan kesilapan. Anak perlu belajar daripada pilihan mereka sendiri sama ada keputusan perbelanjaan yang mereka ambil itu baik atau tidak. Sebagai ibu bapa, kita boleh mengajak mereka berbincang mengenai kebaikan dan keburukan sebelum mereka berbelanja. Galakkan anak untuk membuat sedikit tinjauan sebelum berbelanja besar atau menunggu masa yang sesuai untuk membeli, contohnya ketika jualan murah.




SUMBER : Majalah Pa&Ma











Saturday, January 07, 2012

Tentang Dia



Dia selalu kena marah sebab sibuk nak bukak pintu bila dengar suara orang kat luar.


Dia pantas membuka pintu bila dengar suara adik (anak jiran).


Dia hari-hari mengajak adik masuk rumah untuk bermain. 


Dia selalu bawa keluar mainannya agar abang (anak jiran) main dengannya.


Dia tak kisah mainannya dilingkupkan kawan-kawannya.


Dia selalu kata nak carik angin jap sambil buat muka kesian dengan perkataan please sebab nak keluar lepak dekat koridor. 


Dia ajak mana-mana pakcik yang tengah parking kereta bersembang dari balkoni.


Dia selalu menjerit memanggil kawan-kawan sebayanya juga dari balkoni.


Dia selalu sembang sorang-sorang dengan mainannya.


Dia seronok pergi rumah Cik Dah (pengasuh) sebab kat sana dia bebas main dengan kawan-kawan. 


Dia selalu kecewa mengajak ibunya yang malas pergi taman bila petang.


Dia selalu dimarahi abahnya kerana asyik menonton kartun tak kira masa.


Dia akan terkejar-kejar mana-mana budak dimana-mana saja untuk berkawan. 


Dia akan bahasakan dirinya abang pada mana-mana budak yang muda darinya.




Beginilah nasib jadi anak tunggal macam Dia.





                               



Kelebihan Sujud Dalam Solat



Dari segi psikologi, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha pencipta serta mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya. Manakala dari sudut perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran dan menguatkan mentaliti seseorang. 


Pakar sains mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling menggalakkan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Percaya atau tidak, berikut adalah hikmah yang diperoleh daripada perbuatan sujud ketika solat.


1. Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit daripada tempat asalnya.

2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

3. Melegakan sakit hernia.

4. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

5. Melegakan paru-paru daripada ketegangan.


6. Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa. Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.

7. Meringankan bahagian pelvis.

8. Memberi dorongan supaya mudah tidur.

9. Menggerakkan otot bahu, dada,leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud. Pergerakan otot ini akan menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik,secara semula jadi dan ia juga akan memastikan kelancaran perjalanan darah.

10. Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik,mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

11. Sujud juga mampu mengurangkan kegemukan.

12. Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin. Organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (Convulsions).

13. Organ terpenting iaitu otak kita juga akan menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

14. Mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

Wallahu a’lam.